fbpx
ALEXANDER, 7, memperkenalkan beberapa pakaian rekaannya dalam satu rancangan televisyen. (Gambar kanan) selebriti Hollywood Sharon Stone menggayakan kot yang dihasilkan Alexander.

Budak 7 tahun pereka fesyen hebat, Sharon Stone antara pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI saat kanak-kanak seusianya baharu sahaja mula memahami konsep cita-cita, Max Alexander sudah menempa nama dalam dunia fesyen.

Dengan menggunakan jenama Couture To The Max, kanak-kanak berusia tujuh tahun itu melakukan debutnya di Denver Fashion Week pada November tahun lalu.

Pada acara berkenaan, pereka fesyen cilik itu kelihatan tidak kekok memberi arahan kepada para model yang memiliki ketinggian dua kali ganda daripadanya.

Sentuhan Alexander pada rekaan fesyen yang diperagakan model-model tersebut jelas memancarkan naluri dan imaginasi dunia kanak-kanaknya.

Padanan kepelbagaian tekstur, warna dan jenis fabrik yang dipilih Alexander jelas meletakkannya di bawah kategori couture (fesyen mewah).

Penerbit dan penggayaan Denver Fashion Week, Hailee Lucchesi mengakui teruja apabila Alexander sudi menjadi salah seorang daripada lapan pereka di acara berkenaan.

“Alexander terbukti memiliki pemikiran dan pengetahuan fesyen yang semula jadi. Tiada siapa mampu memalsukan bakat seperti itu.

“Atas sebab itu, saya membawanya ke pentas lebih besar sama seperti pereka dewasa.

“Keputusan ini tiada kaitan dengan kadar popularitinya di media sosial,” jelasnya.

Tidak dinafikan, anak sulung kepada dua beradik itu popular di media sosial dengan 854,900 pengikut di TikTok dan 2.3 juta pengikut di Instagram.

Rata-rata pengikut teruja melihat video pembuatan pakaian yang dilakukan oleh kanak-kanak itu bermula daripada pemilihan fabrik sehingga ia diperagakan.

ALEXANDER memberi arahan kepada salah seorang model pada Denver Fashion Week 2023.

Popularitinya mencanak sehingga Alexander tercalon bagi kategori fesyen dan stail pada Streamy Awards 2023.

Ini meletakkan dirinya setanding dengan calon pempengaruh fesyen dewasa lain termasuk bekas peserta Project Runway, Gunnar Deatherage.

Pada September tahun lalu, Alexander mendapat jemputan untuk menyaksikan peragaan pereka terkemuka, Christian Siriano dan Pamella Roland di New York Fashion Week.

Bagaikan dejavu, jemputan tersebut berlaku setahun selepas Alexander melakukan pertunjukkan fesyen ‘pop up’ bersempena New York Fashion Week 2022 yang dihadiri kenalan terdekat.

Menurut ibunya, Sherri Madison, akaun media sosial tersebut pada asalnya dibuka sebagai platform untuk datuk dan nenek Alexander melihat perkembangannya.

Namun, dia tidak menyangka anaknya mampu menarik perhatian ramai pihak sehingga mereka menghadiahkan perkakas menjahit serta patung peragaan profesional kepada anaknya itu.

“Kami bukanlah keluarga yang berfesyen. Bahkan, saya tidak tahu apa-apa tentang dunia fesyen sebelum ini.

“Siapa sangka dia mampu pergi sejauh ini.

“Namun, saya tidak mahu dia mengaitkan tahap populariti dengan nilai dirinya,” ujarnya.

Mengimbau kembali minat dan bakat anaknya dalam dunia fesyen, Madison berkata, semuanya datang daripada Alexander sendiri.

Pada 2021, ketika baru berusia 4 tahun, Alexander meminta patung peragaan untuk dijadikan asas baju.

Alexander bersama ahli keluarganya.

Tidak terlalu berfikir panjang, ibu bapanya menyediakan satu patung peragaan yang diperbuat daripada kertas kadbod bersaiz kanak-kanak.

Ternyata, Alexander bukan sekadar berangan-angan kosong apabila berjaya memadankan fabrik untuk merealisasikan rekaan pertamanya.

Melihat kesungguhan anak kecilnya itu, Madison membeli mesin jahit dan menghantar anaknya ke kelas jahitan.

Tidak lama kemudian, kemahiran Alexander mula mengatasi ibunya dan rekaannya mendapat permintaan dengan harga AS$1,200 (RM5,603.40).

Dengan wang yang diperoleh anaknya, Madison membeli lebih banyak fabrik bagi membolehkan dia menyiapkan satu pakaian setiap minggu.

Kini, pelajar di gred satu sekolah rendah itu memiliki pelanggan dalam kalangan selebriti Hollywood.

Antaranya termasuk pelakon dan penyanyi era-90 an, Sharon Stone dan bintang Drag Queen, Shangela Laquifa Wadley.

Biarpun pencapaian anaknya itu luar biasa, namun Madison tidak mahu Alexander abaikan pelajaran.

Kongsi Madison, Alexander akan menentukan sama ada ingin menerima atau menolak tawaran sesuatu tawaran.

“Alexander sedar bahawa rekaannya disukai ramai dan dia juga tahu cara untuk mencipta rekaan yang memiliki nilai kebolehpasaran.

“Kami letakkan syarat bahawa Alexander perlu menderma satu pertiga hasil jualan, simpan satu pertiga lagi untuk kegunaan masa depan.

“Sementara satu pertiga lagi digunakan sebagai modal pakaian seterusnya,” katanya.

Sementara itu, setiap ilham rekaan Alexander datang secara semula jadi dari dalam dirinya dan didorong oleh perasaan ingin tahu.

Alexander menganggap dirinya sebagai kelahiran semula mogul jenama mewah, Maurizio Gucci, sebelum mengetahui bahawa moyangnya juga pernah menjadi pereka fesyen di Russia.

“Saya pernah bermimpi sedang mereka fesyen dan memberitahu ibu bapa saya tentangnya.

“Saya membayangkan pakaian dalam minda saya.

“Kemudian, saya menggunakan kain yang serupa, atau sama, untuk merealisasikan rekaan tersebut,” tuturnya.

Meskipun kini dia banyak menghasilkan pakaian bertaraf mewah, namun Alexander masih mahu menghasilkan busana daripada bahan-bahan bukan fabrik.

Bahkan, Max pernah menghasilkan pakaian daripada gula-gula, beg guni kopi dan lebih daripada 8,000 gelang getah.

“Sejak usia empat tahun hingga sekarang, saya sudah hasilkan lebih daripada 100 helai pakaian.

“Tapi saya berharap satu hari nanti saya boleh buat pakaian menggunakan garpu dan sudu,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN