Dunia hari ini tidak pernah sunyi daripada isu hangat, ada sahaja kes sama ada kecil atau besar menjadi perdebatan semua peringkat golongan.
Kos sara hidup yang tidak mendamaikan, hal pendidikan, kesihatan mahupun dunia seni, ada kisah yang perlu atau seharusnya menjadi pengajaran.
Minggu lalu, kisah seorang remaja yang memiliki rupa paras cantik menawan didakwa telah berkahwin di negara seberang dan menjadi isteri kedua.
Gadis belasan tahun ini dikatakan menjadi ‘orang ketiga’ dan kisah percintaan mereka tidak mendapat restu daripada ibu bapa yang juga selebriti.
Kisah ini hebat diperkatakan tanpa henti, pelbagai teori dikeluarkan selain tidak kurang juga yang mencari kesalahan.
Janganlah mulut laju daripada apa yang berlaku, menjatuhkan hukum lebih daripada sepatutnya.
Melihat kepada kisah yang berlaku, benarlah dakwaan mengatakan sukarnya menjaga anak terutamanya perempuan di zaman sekarang.
Ditambah dalam dunia teknologi ketika ini, lambakan content yang tidak sewajarnya mengajar bercinta, tidak semua perkara mampu dipantau rapi oleh
insan bergelar ibu bapa.
Sungguh tugas sebagai ibu bapa berat. Bukan sahaja perlu ‘menyuap’ nasi ke mulut mereka sehingga kenyang, menyediakan makan pakai dan keperluan agama.
Namun kini lebih daripada itu, ibu bapa perlu memahami jiwa remaja anak muda yang sangat ‘advance’ dan adakalanya matang dalam pelbagai aspek.
Satu yang pasti cinta tidak bertepuk sebelah tangan, sesuatu yang membabitkan perasaan pastinya sangat sukar.
Jika ditanya, pasti disalahkan orang ketiga, namun jangan dilupa pihak lelaki. Semuanya main peranan.
Satu lagi isu menjentik penulis adalah bagaimana terbukanya masyarakat kini menerima individu yang didakwa terlibat dengan salah laku tidak bermoral.
Video memperlihatkan penerimaan orang ramai terhadapnya sehingga diajak untuk bergambar, menimbulkan persoalan besar adakah wajar ia berlaku.
Apakah tiada sekelumit perasaan malu apabila individu yang popular pada perkara yang dibenci itu diberi ruang serta peluang yang tidak sepatutnya.
Lupakah kita dengan amaran dan ancaman Allah SWT kepada orang yang melakukan perkara yang ditegah terutama berkaitan zina dan maksiat?
Kawal diri, bukan untuk bermegah. Setiap dari kita patut hentikan memberi perhatian kepada individu atau perkara tidak sepatutnya.
Kita tidak mungkin mampu mengubah masa silam tetapi masih belum terlambat untuk kita berubah dan berhijrah ke arah lebih baik.














