fbpx
AI merupakan satu bentuk teknologi yang membolehkan mesin dan komputer melakukan tugas manusia.

K2

Peranan universiti sebar manfaat AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KECERDASAN buatan (AI) menjadi topik perbualan utama bukan sahaja dalam kalangan para akademik di universiti dan industri, malah kini ia mendapat tempat di hati masyarakat awam.

Justeru, pendedahan awal mengenai AI sangat penting bagi memastikan ledakan teknologi itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dan mengelakkan perkara-perkara memudaratkan hasil daripada AI.

Oleh itu, peranan universiti sangat penting dalam memastikan seluruh lapisan masyarakat diberi pemahaman sekurang-kurangnya asas kepada teknologi AI, kepentingan penggunaannya dan manfaat positif yang boleh diperoleh.

Pemahaman awal sangat penting supaya kesan negatif teknologi AI jika disalah guna dapat ditangani lebih awal.

Pada asasnya, AI adalah satu bentuk teknologi yang membolehkan komputer atau mesin dapat belajar daripada pengalaman, menyesuaikan diri dengan input baharu dan melakukan tugas seperti manusia biasa.

Sebilangan besar AI pada hari ini adalah seperti komputer bermain catur, robot bekerja di restoran atau kereta pandu sendiri.

Semua teknologi itu sebenarnya bergantung kepada proses pembelajaran mendalam dan pemprosesan pengaturcaraan bahasa secara semula jadi.

Menerusi teknologi ini, komputer boleh dilatih untuk menyelesaikan tugas tertentu dengan memproses sejumlah besar data dan mengenali corak pada data.

Keputusan atau tindakan dibuat berpandukan corak data yang dihasilkan. Teknologi AI bermula sejak era 1950-an dengan pengenalan kepada rangkaian neural, kemudian disambung dengan pembelajaran mesin bermula tahun 1980-an.

Seterusnya, pembelajaran mendalam (deep learning) bermula tahun 2011 dan kini bermula era AI generatif.

Kini, data merupakan satu aset yang sangat penting dan ia menjadi sangat kompetitif dalam menghasilkan keputusan terbaik. Bagi memastikan keputusan yang dihasilkan tepat, berinovasi dan beretika, aplikasi AI yang dilengkapi elemen etika dan bersifat mampan perlu dipilih.

Penglibatan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam mempromosi dan memberi pendedahan kepada masyarakat tentang AI di Pahang telah berjalan seiring ledakan teknologi itu.

Pelbagai program kesedaran AI telah dijalankan bersama masyarakat sekitar kampus terutama melibatkan fakulti-fakulti yang memiliki kepakaran dalam bidang AI.

Antara program yang dijalankan adalah seperti Tech Tools for Educators yang diadakan pada November tahun lalu. Ia bagi memberi pendedahan kepada guru-guru sekolah sekitar Maran, Jerantut dan Lipis tentang peranan AI dalam pembelajaran serta pengajaran. Selain itu, program Introduction to Artificial Intelligence using Lego Mindstorms adalah untuk pelajar sekolah rendah sekitar Kuantan dan Pekan.

Ia dijayakan oleh dua pensyarah muda Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal & Automotif iaitu Dr. Daing Mohamad Nafiz Daing Idris dan

Prof. Madya Dr. Ahmad Fitri Yusop bagi memberi pendedahan awal teknologi AI kepada pelajar sekolah.

Selain itu, program bersifat membina keyakinan dalam mendidik anak-anak kelainan upaya seperti Unleash Potential Through AI telah dijalankan pada awal bulan ini oleh Ts. Dr. Abdul Nasir Abd. Ghafar.

Beliau yang merupakan pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik telah memberi pendedahan AI kepada pelajar orang kelainan upaya, pelajar bermasalah dalam pembelajaran serta ibu bapa pelajar terbabit di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur di Kuantan dan Sekolah Menengah Indera Shahbandar di Kuala Pahang.

Selain program bersifat pendedahan AI, terdapat juga inisiatif memindahkan kepakaran teknologi itu oleh pensyarah UMPSA kepada masyarakat bagi manfaat peningkatan ekonomi setempat.

Program Smart Farming yang diperkenalkan oleh Prof. Ir Dr. Faizal Jamlus pula tertumpu kepada masyarakat sekitar Penor bagi penternakan udang kara.

Ia antara kejayaan pemindahan teknologi AI UMPSA kepada masyarakat.

Program itu antara lain memberi pendedahan tentang kepentingan menggunakan teknologi AI dalam proses penjadualan pemakanan udang kara bagi memastikan pembesaran terkawal dan kos makanan dioptimumkan.

Kesimpulannya, peranan universiti dalam memberi pendedahan awal kepada masyarakat tentang kepentingan teknologi AI telah memberi banyak manfaat kepada kumpulan sasaran iaitu guru, pelajar sekolah dan masyarakat.

Ia seiring hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman masyarakat terhadap AI.

Pemahaman tentang AI adalah penting dalam dunia hari ini kerana ia membantu menyediakan individu dengan kemahiran terkini, mempertimbangkan implikasi etika serta meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah dan keupayaan membuat keputusan.

Selain itu, penggunaan teknologi AI menjadi semakin penting dalam dunia hari ini kerana ia berpotensi merevolusikan banyak industri, termasuk penjagaan kesihatan, kewangan, bidang pendidikan dan banyak lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN