fbpx

Lelaki Singapura pecah cermin Fortuner didenda RM5,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KIAN HUI didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Muar hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan memecahkan cermin kenderaan ketika pergaduhan di Kilometer 139.6 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Pagoh, Sabtu lalu.

MUAR – Tindakan kurang bijak seorang lelaki warga Singapura memecahkan cermin kenderaan dalam pergaduhan menggunakan tongkat di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Pagoh membawa padah apabila dia didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Fatin Dalilah Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Soh Kian Hui, 45, selepas dia mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut mengarahkannya dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Kian Hui didakwa melakukan khianat dengan memecahkan cermin belakang kereta jenis Toyota Fortuner milik Khairul Husni Shah Jamil, 31, yang mengakibatkan kerugian berjumlah RM2,502.35.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 1.58 tengah hari, 10 Februari lalu di Kilometer 139.6 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Pagoh di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Soh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Norain Sakina Zikri memohon hukuman ringan memandangkan dia bekerja sebagai pemandu teksi dengan pendapatan sekitar SGD$3,000 (RM10,631.75) dan menjaga ibunya berusia 71 tahun yang baharu menjalani pembedahan kanser.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Ariff Marzuki memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam selepas kejadian itu tular di media sosial.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh bertindak memecah cermin kereta mangsa menggunakan tongkat kerana tidak berpuas hati apabila kenderaannya dihalang daripada menggunakan laluan kecemasan.

Tertuduh berjaya ditahan di Genting Highlands, Pahang pada pukul 3.30 pagi, 12 Februari lalu.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa dalam perjalanan ke Kuala Lumpur sebelum ternampak Mitsubishi Lancer dipandu tertuduh menggunakan laluan kecemasan.

Katanya, keadaan mencetuskan pertengkaran mulut dan tertuduh mengetuk cermin kenderaan mangsa sebelum beredar.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI