fbpx

Jemaah Menteri muktamad cadangan gaji penjawat awam suku kedua tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA- Cadangan penambahbaikan sistem struktur gaji penjawat awam dijangka dimuktamad dan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri selewat-lewatnya awal suku kedua tahun ini untuk kelulusan.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata, keputusan itu dijangka diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2025 pada tahun ini.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 2/2024 pada 13 Februari (semalam) yang turut dihadiri Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan).

“Mesyuarat tersebut telah membincang dan menimbang inisiatif penambahbaikan dalam Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) terutama berkaitan dengan aspek meningkatkan pendapatan boleh guna penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas JPA, penambahbaikan pendapatan boleh guna penjawat awam adalah antara fokus dalam pemerkasaan modal insan perkhidmatan awam untuk memangkin peningkatan produktiviti penjawat awam bagi merealisasikan aspirasi Malaysia Madani.

Mengulas lanjut, penjawat awam di segenap lapisan perkhidmatan masih boleh mengemukakan cadangan penambahbaikan sistem saraan sedia ada meliputi segala aspek perkhidmatan.

Katanya, ia boleh disalurkan melalui portal semakan saraan yang telah dilancarkan sejak 7 Ogos tahun lalu di pautan semakansaraan.jpa.gov.my sebelum 1 Mac ini.

“Perdana Menteri turut memberi penekanan kepada elemen pembaharuan perkhidmatan awam (civil service reform) seperti pendigitalan
sistem perkhidmatan, kerjasama strategik yang holistik serta pendekatan ‘Whole-of-Nation’.

“Ia bagi memacu peningkatan kecekapan, keberkesanan dan profesionalisme perkhidmatan awam dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI