PETALING JAYA – Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain mengingatkan kepada semua pegawai dan anggotanya agar tidak melaksanakan tanggungjawab hanya pada waktu-waktu tertentu, sebaliknya kekal komited pada setiap masa.
Justeru, beliau menegaskan akan terus melakukan lawatan mengejut ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai-balai di seluruh negara bagi melihat sendiri penugasan yang dilakukan anggotanya.
“Jangan terkejut kalau saya tiba-tiba muncul.
“Tindakan ini adalah untuk memastikan pegawai dan anggota polis melaksanakan tanggungjawab masing-masing pada setiap masa dan bukan hanya waktu-waktu tertentu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Razarudin sebelum itu melakukan tinjauan penugasan di IPD Nilai dan Lokap Balai Polis Mantin kelmarin.
Lawatan mengejut itu adalah yang kedua selepas beliau membuat spot check di Pusat Kawalan IPD Kajang pada Sabtu lalu.
Razarudin berkata, beliau turun padang untuk memantau sendiri kerja-kerja operasi harian yang dilaksanakan pegawai dan anggotanya di lapangan.
“Tujuan tinjauan mengejut bukanlah untuk mencari kesalahan dan segera menjatuhkan hukuman, sebaliknya lebih kepada memberi teguran dan memperbetulkan amalan tugasan agar tidak tersasar daripada landasan pasukan.
“Sama-sama kita perbetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul. Insya-Allah,” katanya menerusi video yang dimuat naik di akaun TikToknya semalam.
Menerusi video sama, beliau turut menitipkan pesanan kepada anggota supaya menjaga nama baik PDRM, keselamatan diri sendiri dan harta benda pasukan kerajaan.
“Sekiranya baik anda (anggota) di lapangan (melaksanakan tugas), maka baiklah PDRM (imej pasukan),” katanya.

Dalam tinjauan mengejut ke IPD Kajang pada Sabtu lalu, Razarudin turut memberi arahan menggunakan kod ‘Aman 1’ menerusi walkie-talkie kepada anggota yang sedang melakukan penugasan rondaan.
Beliau berkata, keselamatan dan ketenteraman awam masyarakat sentiasa pada tahap yang tertinggi meskipun dalam sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.
“Peluang bertemu, berkomunikasi, memberi teguran dan menyampaikan nasihat dengan semua petugas di lapangan bukanlah satu permulaan atau pengakhiran.
“Saya akan sentiasa meninjau pelaksanaan tugas pegawai dan anggota di lapangan pada setiap waktu,” katanya.
Sebelum ini juga, Kosmo! turut melaporkan mengenai ketegasan Razarudin terhadap anggota dan pegawai yang terlibat dengan kes-kes salah laku supaya ‘berambus’ daripada berkhidmat dengan Sang Saka Biru.
Beliau berkata, keberadaan kumpulan seperti itu hanya akan menconteng arang dan menjatuhkan reputasi polis sebagai sebuah pasukan keselamatan yang disegani.
Tegasnya, logo pada pakaian polis melambangkan mesra (berjabat tangan) anti rasuah dan masyarakat berpisah seolah-olah tidak sepadan dengan apa yang berlaku ketika ini.
Katanya, terdapat satu dua kes yang berlaku ketika ini seolah-olah menggambarkan polis menyusahkan masyarakat dan mereka yang terlibat sebaiknya perlu menanggalkannya (pakaian seragam).
“Kalau sudah tanggal, berambus. Buat apa duduk dalam pasukan. Kita menjaga tepi kain bukan masuk dalam kain, itu mustahak kerana orang (masyarakat) melihat kita (polis) kini dengan segala gajet yang ada atau mampu melihat pasukan ini daripada semua sudut,” tegasnya.
Berita berkaitan: Anggota terkejut KPN jawab walkie-talkie














