KISAH hati pelakon berwajah nakal, Johan As’ari yang dikatakan sudah berpunya dan bakal mendirikan rumah tangga, bukan baru semalam diselongkar.
Sejak dua tahun lalu, kisah cinta pelakon berusia 37 tahun itu sudah pun dihidu media, sehinggalah Johan atau nama lengkapnya Johan Ariff As’ari sendiri mengakui sedang ranum dilamun cinta.
Pelakon yang memulakan kerjaya seninya pada tahun 2010 menerusi drama Penunggu Gunung Raya itu memberitahu, sudah hampir memasuki tahun kelima mengenali seorang gadis bergelar usahawan mangga harumanis di Perlis.
Bahkan Johan ketika ditemui HibGlam semasa majlis malam gala filem Tujuh Dua Belas pada Mei tahun lalu, turut mendedahkan bakal menikahi kekasihnya itu pada penghujung tahun yang sama.
Masa berlalu, sehinggalah 2023 melabuhkan tirai dan 2024 sudah hampir melepasi suku pertama, jejaka asal Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu masih berstatus bujang.

Kejutan
Bertemu lagi baru-baru ini, Johan kembali diusulkan perkembangan diri, tentang perancangan mendirikan rumah tangga yang pernah diperkatakan namun bintang Juvana itu selesa ‘mengunci mulut’.
Bukan kerana hubungannya dengan gadis yang dikenali dengan pangkal huruf ‘N’ itu telah berakhir, tetapi Johan berkata dia hanya mahu memberi kejutan kepada media dan peminat, apabila tiba masanya nanti.
“Insya-Allah, nanti sampai tarikh saya akan jemput pihak media untuk datang (majlis pernikahannya). Saya ucapkan terima kasih kepada peminat-peminat yang mendoakan.
“Biarlah jadi kejutan. Barulah best (seronok). Kalau saya jemput nanti, mesti kena datang,” katanya.
Janji Johan lagi, dia akan berkongsi kisah hari bahagianya apabila sampai waktunya nanti.
“Nanti tak jadi kejutan. Saya kena hormati orang lain juga. Apabila sudah sampai waktu, saya akan kongsikan,” jelasnya.
Selain ingin memberikan kejutan, Johan juga punya alasan tersendiri untuk enggan berkongsi tentang hubungannya dengan lebih terperinci.
Katanya, dalam era media sosial seperti hari ini, dia harus berhati-hati bagi mengelak perkara yang tidak diingini terjadi.
“Dalam zaman media sosial, bagus kalau kita sentiasa berhati-hati. Tapi, bukanlah sebab penyakit ain atau sebagainya,” katanya.
Tambahnya lagi, kekasihnya itu sememangnya faham dengan kerjayanya sebagai pelakon, selain perhatian yang diterima daripada peminat.
“Dia okey dan faham karier saya sebagai pelakon. Dia memang ‘sporting’,” jelasnya.
Membiarkan kisah cintanya berlalu dengan 1001 tanda tanya, Johan kemudian berbicara pula tentang kerjaya dalam lapangan seni.

Hero
Meniti usia 37 tahun, Johan bersyukur apabila masih diberi kepercayaan penerbit dan pengarah untuk menjayakan watak utama sebagai hero, lebih-lebih lagi disaat industri hiburan sedang dibanjiri dengan muka-muka baharu yang lebih muda dan segar.
“Alhamdulillah, saya anggap itu adalah rezeki apabila masih diberikan watak utama dan bergandingan pula dengan heroin baharu seperti Trisha Oii menerusi drama Menanti Senja yang sedang ditayangkan menerusi TV3,
“Saya rasa sangat-sangat beruntung walaupun terpaksa bersaing dengan kehadiran hero-hero baharu yang muda dan segar.
“Dari segi persaingan, mereka semua pelakon yang baik. Saya lihat pelakon baharu sekarang semuanya ada kesungguhan. Bila masuk ke set penggambaran, mereka akan buat sehabis baik. Jadi saya sentiasa sokong dan beri mereka peluang,” ujarnya.

Bersentuhan
Melihat ‘penghijrahan’ dirinya mendekati agama sejak beberapa tahun lalu, timbul persoalan apabila Johan masih melakonkan babak bersentuhan dengan Trisha dalam drama arahan Faizal Nadxaman tersebut.
Johan mengakui memang terdapat banyak babak bersentuhan dalam naskhah tersebut. Pada masa sama, dia turut beranggapan dirinya masih lagi belum sempurna sebagai manusia biasa.
“Mungkin orang melihat saya belajar tinggi bab agama. Tapi saya cuma manusia biasa yang tidak sempurna. Saya tidak pernah kata untuk tidak bersentuhan (dengan pelakon wanita) dalam mana-mana naskhah sebelum ini.
“Dari dahulu lagi, saya sentiasa buat apa yang perlu untuk sesebuah karya. Saya tidak boleh menipu kerana apa yang saya lakukan, adalah untuk kebahagiaan sendiri.
“Saya akan cuba untuk menambah baik melalui kehidupan yang saya belajar, hari demi hari. Bak kata orang tua, pengalaman mendewasakan kita,” katanya yang mengharapkan doa agar mampu menjadi manusia yang lebih baik.















