NARATHIWAT – Penduduk di kawasan Selatan Thailand mengakui terbeban dengan harga semasa beras yang dilaporkan turut mengalami kenaikan seperti yang berlaku kepada harga beras import di negara itu.
Penduduk mendakwa, kenaikan harga beras tempatan mula dikesan berlaku sejak dua tahun lalu.
Seorang penduduk, Solas Hudin Chenea, 40, berkata, penduduk kini sukar untuk mencari harga beras yang murah untuk ahli keluarga mereka.
Katanya, mereka tiada pilihan dan terpaksa membeli walaupun harga beras agak mahal kerana beras merupakan makanan ruji keluarganya.
“Kos belanja bulanan untuk menyara tiga anak mula meningkat berikutan kenaikan harga beras dan barangan keperluan harian lain.
“Sebelum ini saya beli beras tempatan lima kilogram dengan harga sekitar 90 bath (RM11.95), tetapi sekarang ini harga kira-kira 130 bath (RM17.25),” katanya baru-baru ini.
Solas Hudin memberitahu, harga beras bagi 10 kilogram sebelum ini ialah 180 bath (RM23.90) dan sekarang meningkat kepada 260 bath (RM34.50).
Seorang lagi penduduk, Awang Husin Dolloh, 55, pula berkata, dia yang sebelum ini membeli beras timbang juga berdepan kenaikan harga.
Katanya, harga beras sekilogram paling murah kini 25 bath (RM3.30) berbanding dahulu 15 bath (RM2).
“Ramai penduduk merungut tetapi mereka tiada pilihan terpaksa membeli beras untuk sumber makanan keluarga.
“Kami berharap kerajaan Thailand dapat menstabilkan semula harga beras agar penduduk di kawasan luar bandar tidak terus terbeban,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Kabinet Thailand meluluskan langkah untuk menstabilkan harga beras, termasuk menyediakan pinjaman bagi membantu petani menangguhkan penjualan padi selama lima bulan, berikutan penurunan harga komoditi itu baru-baru ini.
Jurucakap kerajaan Chai Wacharonke berkata, langkah itu akan dilaksanakan sehingga akhir Februari ini.














