fbpx

[VIDEO] Lelaki pandu Volkswagen secara berbahaya ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis memeriksa kereta jenis Volkswagen yang dipercayai dipandu melulu di Jalan Air Putih-Chukai berhampiran Taman Alam Perdana, Kemaman hari ini.

KEMAMAN – Seorang lelaki ditahan polis hari ini kerana disyaki memandu secara berbahaya di atas jambatan Jalan Air Putih-Chukai berhampiran Taman Alam Perdana di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, penahanan itu susulan penularan video rakaman kemera papan pemuka (dashcam) memaparkan suspek berusia 30-an  memandu kereta jenis Volkswagen secara merbahaya sehingga nyaris menyebabkan kemalangan.

“Polis berjaya menahan pemandu kenderaan terbabit pada pukul 12 tengah hari tadi bagi membantu siasatan.

“Kejadian yang tular itu dipercayai berlaku pada pukul 8.15 pagi, Khamis lalu. Hasil pemeriksaan air kencing suspek didapati negatif dadah dan dia juga tidak memiliki rekod jenayah lampau,” katanya di sini hari ini.

Hanyan berkata, suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah tahanan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, klip video berdurasi satu minit itu memaparkan suspek memandu kereta dengan laju dari arah Chukai sebelum memotong dua kenderaan di hadapannya.

Kenderaan itu kemudiannya bergesel dengan cermin sisi sebuah kereta jenis Perodua Axia selain nyaris bertembung dengan kenderaan lain dari arah bertentangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI