TAPAH – “Saya menggelabah apabila objek yang saya pegang ketika menyelam itu kaki budak. Saya kuatkan semangat sebelum panggil kawan untuk bantu.”
Itu pengalaman pekerja ladang kelapa sawit, Muhammad Izwan Nordin, 26, apabila ditanya mengenai perasaan ketika menemui mayat kanak-kanak yang menjadi mangsa tragedi kepala air di Sungai Kenjur, Kampung Poh dekat Bidor kelmarin.
Cerita Muhammad Izwan lagi, ketika itu dia sedih dan sebak kerana mayat itu ditemui tersangkut di bawah akar pokok di dalam sungai kira-kira 600 meter dari tempat kejadian pada pukul 9.50 malam.
“Saya tolong cari walaupun hari sudah gelap kerana simpati kepada bapa mangsa. Tambahan pula saya kenal dengan ibu bapa budak-budak itu.
“Sebab itu bila saya lihat pokok melintang di tengah sungai, hati saya terdetik ada sesuatu dan terus selam sebelum ternampak objek seperti kaki,” katanya di sini semalam.
Menurut Muhammad Izwan, mayat mangsa tersangkut pada akar pokok di dalam sungai dengan kesan luka pada kepalanya.
Tambahnya, kejadian seumpama itu pertama kali berlaku di situ dan penduduk kampung turut merasai kesedihan yang menimpa kepada keluarga berkenaan.















