fbpx

Penat tempuh sesak Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LEBUH RAYA Kuala Lumpur-Karak (KLK) sepanjang kira-kira 60 kilometer sememangnya tidak asing lagi apabila bukan sahaja menjadi penghubung di antara Kuala Lumpur dan Karak di Bentong, tetapi menjadi pintu masuk utama ke negeri Pantai Timur.

Lebuh raya yang siap pada 1979 sebelum dinaik taraf kepada Lebuh Raya Ekspress pada 1997 itu bersambung dengan Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT 1) yang dikendalikan oleh Anih Berhad.

Laluan lebuh raya yang melibatkan dua negeri iaitu Selangor dan Pahang bermula dari Gombak-Genting Highlands-Genting Sempah-Bukit Tinggi-Lentang dan Karak.

Bagaimanapun, apa yang menjadi isu besar di lebuh raya berkenaan sejak sekian lama ialah masalah kesesakan lalu lintas luar biasa setiap kali cuti umum dan cuti persekolahan.

Keadaan ini menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan pengguna jalan raya yang sudah tentu mengharapkan keselesaan dan perjalanan yang lancar apabila melalui lebuh raya.

Pengalaman pengguna yang terpaksa ‘berkampung’ di atas jalan setiap kali pulang ke kampung khususnya pada musim perayaan merupakan berita yang menjadi keluhan dan bagai berkesudahan hingga kini.

Selain kesesakan lalu lintas, isu lain adalah kejadian kemalangan yang sering berlaku di kawasan tertentu khususnya di kawasan Bukit Tinggi, Bentong.

Kejadian kemalangan yang berlaku hampir setiap bulan di Bukit Tinggi dilihat berpunca dari laluan yang berbukit dan berselekoh yang perlu ditambah baik.

Selain dua isu berkenaan, masalah lain yang harus diberi perhatian ialah isu pencahayaan lebuh raya pada waktu walam yang juga penting dalam aspek keselematan.

Bagi pengguna yang memulakan perjalanan dari Gombak pasti akan merasakan kelainan apabila melepasi terowong Genting Sempah kerana sebaik menjejak bumi Pahang itu keadaan menjadi gelap kerana tiada lampu jalan.

Sampai bilakah isu-isu ini akan berterusan sedangkan laluan berkenaan merupakan antara laluan utama dan penting kepada pengguna jalan raya.

Seharusnya pihak kerajaan memandang serius ini yang melibatkan kebajikan masyarakat, keselesaan dan juga dalam pembangunan ekonomi negara.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri memandang isu keselesaan pengguna di laluan lebuh raya berkenaan dan telah mengadakan pertemuan dengan pemegang konsesi Anih Berhad bagi mengadakan perbincangan.

Katanya, bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas di KLK, kerajaan akan melaksanakan projek pelebaran jalan di lebuh raya berkenaan melibatkan jajaran bermula dari Plaza Tol Gombak ke persimpangan Lingkaran Tengah Utama, Bentong.

Katanya, projek itu juga merangkumi pembinaan satu lagi terowong, penambaikan terhadap bahu jalan dan disediakan lampu jalan di keseluruhan jajaran untuk keselamatan dan keselesaan pengguna.

Semoga projek yang dirancang dapat dilaksanakan segera dan tidak tertangguh demi keselesaan rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN