fbpx

[VIDEO] Lebih 500 sertai Himpunan Selamatkan Syariah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai menunaikan solat hajat di pekarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya. Foto oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Lebih 500 ahli Pas dan orang awam membanjiri pekarangan Istana Kehakiman, di sini bagi menyertai ‘Himpunan Selamatkan Syariah’ yang dipercayai dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang.

Malah, turut berlangsung solat hajat di pekarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj) yang turut disertai beberapa pemimpin Pas.

Hadir sama Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob, Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadli Shaari dan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman serta Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin.

Perhimpunan pagi ini diadakan demi mempertahankan mahkamah syariah susulan Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh hari ini bagi mendengar keputusan petisyen seorang peguam dan anaknya yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.

Mereka yang hadir di sini berkumpul sebelum pukul 7.30 pagi tadi dan ada peserta datang dari jauh seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Sebelum ini, peguam terbabit, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bertindak melangkaui bidang kuasa.

Mereka juga memohon mahkamah mengisytiharkan DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam saja.

Petisyen itu akan diputuskan panel yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Turut menganggotai panel sama, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI