fbpx

Dunia menuju ‘zaman huru-hara’ – Antonio Guterres

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
. MAJLIS Keselamatan PBB berbeza pendapat dalam pelbagai isu global seperti perang di Gaza. - Foto AFP

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), NEW YORK – Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyatakan bahawa dunia sedang menuju ke arah ‘zaman huru-hara’, lapor portal beri­ta RT kelmarin.

Guterres berkata, Majlis Keselamatan PBB terus berbalah dan gagal menangani isu geopolitik kritikal serta krisis global semasa.

Dalam ucapan tahunan tentang keutamaan Majlis Keselamatan pada tahun ini, Guterres berkata, konflik dan perang global mewujudkan realiti berbahaya serta fasa ketidaktentuan kepada orang awam.

“Bagi berjuta-juta penduduk awam yang terperangkap dalam konflik di seluruh dunia, kehidupan mereka adalah di ambang kematian,” kata beliau kepada Perhimpunan Agung PBB.

Era huru-hara tersebut seper­ti yang beliau gambarkan, mewujudkan ‘situasi berbahaya dan tidak menentu’ ketika Majlis Ke­selamatan PBB berada dalam ke­buntuan akibat ‘keretakan’ geopolitik.

Antara isu yang memecahbe­lahkan perpaduan PBB kata Gu­terres, ialah perang Israel di Gaza.

Tegas Guterres, beliau bimbang dengan laporan bahawa Israel mahu menumpukan serangan di selatan Semenanjung Ga­za.

Kawasan di selatan Gaza itu didiami lebih sejuta pelarian Pa­les­tin yang mencari perlindungan daripada serangan udara dan darat Israel.

“Tindakan seperti itu akan meningkatkan lagi konflik yang sudah pun menjadi mimpi ngeri kemanusiaan dengan impak serantau yang tidak dapat dibayangkan,” ujarnya.

Setiausaha Agung PBB itu turut mengkritik negara-negara yang berusaha menambah bilangan senjata pemusnah besar-besaran khususnya senjata nuklear. Langkah tersebut, kata Guterres hanya akan menggugat keselamatan global dan menambah ketegangan serantau.

“Selepas berdekad-dekad usa­ha melucutkan senjata nuklear dilakukan, negara-negara kuasa besar kini bersaing untuk menjadikan senjata nuklear masing-masing menjadi lebih pantas, senyap dan tepat,” katanya.

Senjata-senjata tersebut yang dibangunkan tanpa ‘kawalan’, mewujudkan cara baharu untuk umat manusia saling membunuh dan memusnahkan diri merekja sendiri, kata Guterres.

Guterres menyatakan, walau­pun wujud perbezaan dalam kalangan negara anggota Majlis Keselamatan pada masa lalu, percanggahan pada masa kini adalah jauh lebih buruk dan lebih berbahaya.

“Semasa Perang Dingin, meka­nisme sedia ada membantu menguruskan hubungan antara kuasa-kuasa besar dunia.

“Namun, dalam dunia pelbagai polar masa kini, mekanisme itu tidak lagi wujud,” ujarnya.

Ketua PBB itu turut menggesa negara-negara anggota Majlis Ke­selamatan supaya ‘menjadikan’ Bumi aman dengan mengurangkan pencemaran yang merosakkan tamadun manusia. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI