fbpx

Kes demam campak meningkat di Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemberian vaksinasi bersasar yang dilaksanakan di Putri Bahang Apartment, Penampang baru-baru ini. - Foto JKNS

KOTA KINABALU – Sabah merekodkan peningkatan mendadak kes demam campak atau measles, khususnya di daerah Penampang sepanjang lima minggu pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Asits Sanna, berkata,sehingga Minggu Epidemiologi Kelima 2024 (ME5/2024), sebanyak 30 kes penyakit itu dilaporkan di daerah terbabit.

Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding tempoh sama pada tahun lalu yang tidak merekodkan sebarang kes demam campak.

Beliau berkata, data demografi kes setakat ini menunjukkan 87 peratus jangkitan membabitkan individu warga negara dengan julat umur tertinggi dijangkiti ialah 18 tahun dan ke atas iaitu sebanyak 67 peratus.

“Sebanyak 17 peratus kes dilaporkan pernah menerima sekurang-kurangnya satu dos imunisasi campak, 27 peratus tidak pernah menerima imunisasi, 53 peratus pula tidak diketahui status imunisasi, manakala tiga peratus lagi belum layak menerima vaksin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, Jabatan Kesihatan Sabah melalui Pejabat Kesihatan Kawasan Penampang (PKK Penampang) menjalankan pelbagai aktiviti pencegahan dan kawalan bagi menangani penularan demam campak, khususnya di Penampang.

Katanya, antara aktiviti pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan ialah siasatan epidemiologi menyeluruh, siasatan makmal dan persekitaran, aktiviti promosi kesihatan dan Aktiviti Imunisasi Tambahan (SIA) vaksin campak dalam lingkungan satu kilometer radius lokaliti kes.

“Aktiviti SIA ini dilaksanakan di lokaliti yang ada kes campak, lokaliti dengan liputan imunisasi yang rendah dan kawasan yang berisiko tinggi untuk berlakunya wabak demam campak.

“Setakat ME5 / 2024 SIA bersasar dijalankan di 16 lokaliti kes dengan seramai 366 kanak-kanak diberi vaksinasi, masing-masing 231 (63 peratus) kanak- kanak warga negara manakala 135 orang (37 peratus) bukan warga negara.

“Aktiviti SIA terkini ialah pemberian vaksinasi bersasar yang dilaksanakan pada 5 hingga 6 Februari di Putri Bahang Apartment, Penampang di mana seramai 47 kanak-kanak diberi vaksinasi campak,” katanya.

Dr Asits berkata, antara jenis vaksin yang digunakan ketika program SIA itu ialah vaksin Measles Monovalent, vaksin Measles Rubella (MR) atau Vaksin Measles Mumps Rubella (MMR).

Katanya, pemberian vaksin itu adalah kepada kanak-kanak dan individu yang berumur di antara enam bulan sehingga 15 tahun, namun boleh diperluaskan berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan di sesuatu lokaliti.

Setakat ini, katanya pencapaian imunisasi campak sehingga 31 Januari 2024 di daerah Penampang pada kadar 95 peratus, namun berlaku kesukaran mengenal pasti status vaksinasi sebahagian penduduk terutama warga asing kerana sering berpindah-randah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI