fbpx

Kepala air: Ibu maut, tiga anak masih hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suami (dua dari kanan) kepada mangsa lemas kejadian kepala air di lokasi insiden di Jalan Brussel, Kampung Poh, Bidor hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

TAPAH – Hubungan mangsa lemas dan tiga kanak-kanak yang dilaporkan hilang dalam tragedi kepala air di Sungai Kenjur, Kampung Poh dekat Bidor di sini petang tadi dikenal pasti sebagai anak-beranak.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Aszura Bani, 37, manakala tiga anak yang masih hilang pula ialah Hanna Mikayla, 7; Hafiy Muhayat, 4; dan Hanum Marissa, 2.

Kejadian sekitar pukul 4 petang itu berlaku ketika empat beranak itu sedang melakukan aktiviti perkelahan bersama tiga individu lain.

Dalam kejadian itu, kakak Aszura dikenali Aslinda, 38, dan anak lelakinya berusia 11 tahun serta pengasuh wanita warga Indonesia berusia 30-an terselamat.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd. Naim Asnawi berkata, mayat mangsa ditemukan oleh penduduk kampung pada pukul 4.30 petang, kira-kira 600 meter dari lokasi dia dihanyutkan arus deras.

Katanya, ketiga-tiga anak mangsa bagaimanapun belum dijumpai setakat ini.

“Wanita warga Indonesia yang turut dihanyutkan arus deras diselamatkan penduduk selepas berpaut pada batu besar iaitu kira-kira 100 meter dari lokasi perkelahan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk tindakan lanjut manakala pengasuh wanita itu turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kesemua mangsa diperluaskan dengan radius pencarian sejauh tiga kilometer melibatkan pelbagai agensi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, operasi mencari mangsa akan dibantu anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Teluk Intan dan Unit Anjing Pengesan (K9) bomba.

“Operasi dilaksanakan dengan membuat pencarian di sepanjang sungai bermula dari lokasi kejadian melibatkan 17 anggota diketuai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor.

“Setakat ini, cuaca di tempat kejadian tidak lagi hujan, paras air sungai mulai surut, namun keadaan air masih lagi keruh,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI