fbpx

Sultan Nazrin berkenan rasmi Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi HRPB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Nazrin (kanan) berkenan merasmikan Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi (KWKK) Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/KOSMO!

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim itu disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Sementara itu, Dzulkefly dalam ucapannya berkata, HRPB mula ditubuhkan pada 1891 dan dikenali sebagai hospital daerah dengan kapasiti 50 buah katil sahaja sebelum dinaik taraf kepada hospital negeri pada tahun 1942.

Menurut beliau, hospital itu terus berkembang dengan pembangunan Kompleks Klinik Pakar pada tahun 1992 dan pada tahun 2005 pula, Kompleks Rawatan Harian telah ditubuhkan.

“Pada tahun 2017, hospital ini dijadikan ‘lead’ hospital bagi kluster Ipoh serta menjadi pusat rujukan untuk ‘non-lead’ hospital iaitu Hospital Batu Gajah, Hospital Sungai Siput, Hospital Kampar dan Hospital Bahagia Ulu Kinta.

“Pembinaan Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi HRPB ini menjadikannya antara tiga hospital terbesar di negara ini selepas Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Pulau Pinang (HPP).

“HRPB kini memiliki kapasiti 1,394 katil, 22 dewan bedah, 33 katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dewasa, 10 katil unit rawatan jantung, 12 katil Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) dan 24 katil unit rawatan neonatal,” katanya.

Beliau memberitahu, pembinaan kompleks di atas tapak berkeluasan 14,671 meter persegi itu bermula pada tahun 2013 membabitkan kos sebanyak RM237 juta di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

“Ini merupakan satu peruntukan yang besar dalam perbelanjaan sebuah hospital bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dapat dilaksanakan secara optimum kepada seluruh rakyat khususnya di negeri Perak,” katanya.

Kompleks setinggi 10 tingkat yang memuatkan 404 katil, enam dewan bedah dan 304 lot parkir untuk kakitangan serta pelawat itu mula beroperasi sejak Disember 2019.

Tiga perkhidmatan utama ditawarkan di kompleks berkenaan iaitu kardiologi, pediatrik dan obstetrik dan ginekologi selain menyediakan perkhidmatan sokongan iaitu perkhidmatan Radiologi, Farmasi, Unit Bekalan Bahan Steril dan Unit Hasil. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI