NILAI – Seorang ibu cekal menjaga anaknya yang menghidap penyakit cerebral palsy atau kelumpuhan otak dalam keadaan pendapatan keluarga yang tidak menentu.
Nurizrin Ishak 37, berkata, anaknya, Mohammad Fitri Baharudin, 15, hanya terlantar dan tidak mampu bergerak bebas seperti remaja seusianya.
Menurutnya, walaupun berdepan pelbagai cabaran, dia akan pastikan segala penjagaan anaknya itu yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) diberi perhatian sepenuhnya.
“Fitri dilahirkan normal, namun diserang sawan akibat demam panas pada usia dua tahun setengah. Anak saya kemudiaan dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru dan dia juga pernah koma selama seminggu.
“Saya selalu memberitahu suami tentang kebimbangan saya sekiranya saya tiada lagi, siapa yang akan menjaga Fitri dengan baik,” katanya ketika ditemui di Flat Taman Semarak, Nilai, di sini semalam.
Nurizrin membeirtahu, Mohammad Fitri memerlukan perbelanjaan hampir RM500 sebulan termasuk kos pembelian lampin pakai buang dan susu.
Dia berkata, anaknya itu sepatutnya diberikan susu formula khas, namun ekoran kekangan kewangan, mereka terpaksa mencampurkannya dengan susu biasa.
“Fitri hanya bergantung kepada susu yang diberikan sebanyak lima kali sehari selain diberi makan bijiran serta makanan lembut menerusi saluran tiub,” ujarnya.
Katanya, dia hanya membantu suaminya berniaga air soya dan pendapatan yang diperoleh mereka tidak menentu.
“Anak saya ini memperoleh bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600, namun ia masih tidak mencukupi,” katanya yang mempunyai dua orang lagi anak yang masih bersekolah.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional 0114929000157135 atas nama Nurizrin Ishak atau menghubunginya di talian 011-258 61931.
















