fbpx

Klang menuju Bandar Raya Diraja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DATUK Bandar Klang, Datin Paduka Noraini Roslan meninjau kerja-kerja menaik taraf laluan pejalan kaki dan pencahayaan di sekitar bandar Klang baru-baru ini.

KLANG – Kemampanan pentadbiran Majlis Perbandaran Klang (MPK) membuatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu kini bersedia berubah ke arah menjadi Majlis Bandaraya Diraja dalam masa terdekat.

Pemasyhuran yang akan diperkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah nanti bakal menjadikan PBT tersebut satu-satunya yang mempunyai status Diraja di negara ini.

Malah, ramai tidak mengetahui bahawa MPK adalah antara 20 PBT terbaik di Malaysia dalam Penarafan Bintang sejak 2008 dengan penilaian pada dua tahun lalu mendapat markah keseluruhan 96.39 peratus.

Lebih membanggakan adalah MPK telah 25 tahun berturut-turut memperoleh Sijil Bersih Audit dalam tadbir urus kewangan.

Menurut Jabatan Komunikasi Korporat MPK, PBT tersebut yang ditubuhkan sejak 1890 telah memenuhi semua kriteria bagi mencapai status bandar raya
pada usia 133 tahun.

Katanya, penaiktarafan Klang sebagai bandar raya ke-20 itu di seluruh negara dan keempat di Selangor bermaksud MPK mempunyai kekuatan kewangan yang mampan untuk menyediakan perkhidmatan perbandaran efisien, berkualiti serta bertaraf antarabangsa bagi meningkatkan daya huni dan kesejahteraan penduduk di Klang.

“MPK sebenarnya telah me­lakukan persediaan untuk dinaik taraf ke bandar raya sejak tahun 2006.

“Ini memandangkan kita sudah lama memenuhi kriteria sebagai bandar raya dengan pendapatan sudah melebihi RM300 juta sejak beberapa tahun lalu, selain jumlah penduduk setakat ini lebih 902,000 orang.

“Klang juga mempunyai Pelabuhan Klang iaitu pelabuhan utama yang menjadi pe­mangkin ekonomi bukan sahaja di ­Se­l­angor, malah di Malaysia.

Justeru, berdasarkan kriteria tersebut, Klang selayaknya dinaik taraf kepada bandar raya yang bakal menjadi kebanggaan buat warga daerah ini,” katanya kepada ­Kosmo! di sini kelmarin.

NORAINI menerima Anugerah Kepimpinan PBT Terbaik (Perbandaran) pada Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT 2023 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kata MPK, proses perbandaran pesat memerlukan satu anjakan paradigma dalam pengurusan bandar dengan segala elemen telah dimiliki PBT itu bagi menjadikan tempat yang lebih baik didiami, berdaya huni, selamat serta sejahtera.

Tambahnya, pelbagai program telah dilaksanakan secara berterusan, antaranya program komuniti strata, hari tanpa kenderaan, kebun komuniti, kejiranan, penanaman pokok, kitar semula dan penjagaan sungai selaras mencapai matlamat pembangunan mampan (SDG).

“Selain itu, program lain yang rancak berjalan ialah projek berdaya huni, MyPlace, Lorong Basikal, Pejalan Kaki, Bandar Pintar, Bandar Selamat dan Rejuvenasi Bandar.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi program Sentuhan Kasih juga telah meluluskan 21 projek berjumlah RM5 juta termasuk projek naik taraf Pasar Pelabuhan Klang, Jalan Goh Hock Huat (Jalan Keretapi Lama), laluan pejalan kaki dan basikal di Jambatan Kota serta membina tandas awam moden,” katanya.

Jelas MPK, seiring itu juga sebanyak RM35 juta telah diperuntukkan untuk projek rejuvenasi atau pembaharuan dan pembinaan fizikal di beberapa kawasan di Klang tahun ini.

“Malah, MPK juga memfokuskan peruntukan sebanyak RM212 juta dalam bajet tahun ini ­melibatkan kebersihan alam sekitar dan kesihatan awam, penyelenggaraan parit, penyelenggaraan jalan serta pengindahan selain landskap dan rekreasi,” tegasnya.

Dalam mendepani cabaran status Bandar Raya Diraja, MPK juga telah menyedia dan menyusun pelan tindakan lima tahun bermula tahun ini sehingga 2028 bagi memantapkan pentadbirannya demi kesejahteraan rakyat Klang.

MPK menjelaskan, ini adalah selaras visi Klang Bandar Raya Warisan Diraja yang mampan dengan melaksanakan perkhid­matan berkualiti, berintegriti serta tadbir urus dan perancangan bandar yang holistik dengan mengutamakan elemen warisan dan sejarah.

“Kita menyedari antara isu perbandaran yang kerap berlaku di daerah Klang adalah seperti banjir, perubahan iklim, ­kebakaran tanah gambut dan penyakit seperti demam denggi dan penyakit berjangkit.

“Justeru, bagi mengatasinya, MPK membuat perancangan pembangunan masa hadapan dan kawalan pembangunan sedia yang diterjemahkan dalam bentuk projek dan program.

“Kesemua ini bagi memastikan matlamat bandar mampan yang menerapkan konsep berdaya huni, berdaya tahan dan saing dalam dicapai merangkumi bandar sihat, indah, ceria, pintar, selamat dan mesra komuniti,” ­katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI