HULU TERENGGANU – Perniagaan pengusaha premis makanan dan kios di Pengkalan Gawi terjejas apabila sebahagian besar tapak perniagaan mereka dilimpahi air Tasik Kenyir di sini sejak seminggu lalu.
Limpahan disebabkan kenaikan paras air Tasik Kenyir pada musim tengkujuh berkenaan dijangka berlarutan sehingga empat bulan.
Seorang peniaga kedai makan, Siti Zaharah Salleh, 57, berkata, limpahan tersebut menyebabkan premis perniagaan mereka dinaiki air setinggi kira-kira 0.2 meter.
“Sebenarnya air Tasik Kenyir melimpah di Pengkalan Gawi merupakan fenomena biasa tetapi kali ini paling besar sehingga menjejaskan premis perniagaan kami.
“Selalunya hanya kawasan pinggir tasik dan jeti yang terjejas. Sedikit sebanyak fenomena ini menjejaskan perniagaan kami juga kerana limpahan itu biasanya akan berlarutan dalam tempoh tiga atau empat
bulan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pengkalan Gawi di sini semalam.
Pengkalan Gawi merupakan pintu masuk utama ke Tasik Kenyir yang baru diisytihar sebagai Taman Geo Kebangsaan kesembilan pada tahun lalu.
Siti Zaharah berkata, dia dan tujuh peniaga lain di kawasan tersebut berpaksa ‘bercuti’ berniaga ekoran limpahan air Tasik Kenyir tersebut sejak seminggu lalu.
Sementara itu, seorang pemandu bot laju, Izat Mukhriz Muhamad, 29, pula berkata, dia difahamkan paras air di Tasik Kenyir kini mencecah 148 meter.
“Ia fenomena normal setiap kali musim tengkujuh. Tidak tepat jika pihak tidak bertanggungjawab cuba mengaitkan limpahan kononnya mengancam keselamatan Empangan Tasik Kenyir.
“Limpahan air Tasik Kenyir ini juga tidak menjejaskan aktiviti pelancongan di kawasan ini,” katanya.
Izat Mukhriz berkata, perkhidmatan rumah bot dan bot laju membawa pelancong beroperasi seperti biasa sepanjang musim tengkujuh ini kecuali laluan darat masuk ke Pengkalan Gawi ini ditenggelami banjir.














