TAPAH – Penduduk setempat yang mendiami kawasan berhampiran Depot Imigresen Sementara Bidor di sini berharap kesemua tahanan yang melarikan diri dari depot berkenaan dapat ditangkap semula dengan segera.
Menurut mereka, kebanyakan penduduk mula melahirkan kebimbangan sekiranya ada tahanan yang mengambil kesempatan dengan memasuki atau menceroboh rumah penduduk.
Seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah menengah berhampiran dikenali Ramli, 52, berkata, beliau terkejut apabila menerima maklumat mengenai kejadian itu menerusi aplikasi WhatsApp.
“Majoriti penduduk taman perumahan berhampiran mengambil langkah keselamatan dengan tidak keluar pada waktu lewat malam.
“Selain itu, mereka juga mengunci tingkap dan pintu utama rumah lebih awal,” katanya ketika ditemui semalam.
Bagi Saravanan Ramasamy, 46, yang merupakan pemilik pasar mini, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas membaca berita menerusi Facebook.
“Kedai saya tutup awal pukul 9 malam semalam (kelmarin) dan pada pagi tadi (semalam), saya sempat tengok rakaman CCTV tetapi tidak nampak pula sebarang kelibat orang melarikan diri.
“Mungkin mereka melarikan diri ke tempat lain kerana kedudukan depot itu yang agak berjauhan dengan penempatan awam,” katanya.
Bagi Musa Manap, 66, dari Kampung Tersusun Dua Tambahan pula, dia bimbang sekiranya ada tahanan yang datang meminta wang atau menumpang sementara di rumah mereka.
“Sebenarnya agak sukar untuk mengenai mereka kerana ramai warga asing di sini yang bekerja di sektor perladangan dan ternakan.
“Saya berharap pihak berkuasa dapat menangkap mereka dengan segera demi keselamatan penduduk setempat,” katanya.














