GEORGE TOWN – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang menjangkakan berlaku pertambahan bilangan gelandangan termasuk kutu rayau dan pengemis ke negeri ini pada musim cuti akhir persekolahan 2023/2024, bermula 9 Februari nanti.
Pengarahnya, Zakaria Taib berkata, kehadiran golongan terbabit terutama dari wilayah Utara, Johor dan Melaka dijangka akan menumpukan beberapa lokasi tumpuan pelancongan di lima daerah negeri ini.
Menurutnya, situasi ini dikesan menerusi operasi menyelamat gelandangan yang dijalankan secara berkala oleh pihak JKM.
“Dalam operasi yang dijalankan dalam tempoh dua bulan ini, sejak Disember tahun lalu, seramai 316 orang gelandangan telah diselamatkan pihak JKM membabitkan lima daerah di negeri ini.
“Memang akan berlaku peningkatan bilangannya nanti kerana mereka (gelandangan) akan ambil kesempatan semasa kehadiran ramai pelancongan ke Pulau Pinang.
“Pada masa sama, kami juga bimbang akan ada sindiket pengemis tempatan yang membawa kanak-kanak atau pelajar tahfiz untuk meminta sedekah. Berikutan ini, kami akan melipatgandakan operasi dari masa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri Program Pemberian Pakaian Percuma kepada gelandangan oleh Uniqlo di Pusat Transit Gelandangan (PTG), Jalan Magazine di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya lagi, gelandangan di negeri ini dikesan tidak lagi menjadikan lokasi seperti di bawah Kompleks Tun Abdul Razak atau di Jalan Masjid Kapitan Keling sebagai lokasi berteduh dan berhijrah ke pasar-pasar awam mahupun tempat dianggap lebih selamat.
“Apabila disoal, mereka mendakwa Pulau Pinang merupakan tempat yang mewah dengan makanan dan rezeki tidak putus-putus. Ada yang dapat makan sehingga 12 kali sehari, hasil sumbangan orang ramai.
“Inilah yang akan melonjak pertambahan bilangan gelandangan di negeri ini. Justeru, kami tidak menggalakkan orang ramai atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyumbang makanan secara percuma kepada mereka di lapangan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














