HULU SELANGOR – Seramai 350 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali (SMKBBK) menerima bantuan persekolahan menerusi program anjuran Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia), di sini hari ini.
Pelajar-pelajar yang terdiri daripada golongan B40 itu menerima bantuan barang keperluan seperti kasut, pakaian seragam, beg dan alatan tulis bagi memulakan sesi persekolahan pada Mac depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia, Ahmad Hashimi Abdul Manap berkata, program ‘Back To School’ ini merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diadakan julung kali tahun ini.
Ujarnya, sektor pendidikan merupakan antara empat tonggak utama CSR di bawah Gas Malaysia yang dianjurkan pada setiap tahun selain komuniti, sukan dan persekitaran.
“Kami percaya bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang pendidikan berkualiti, tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi mereka.
“Program ‘Back To School’ yang diadakan Gas Malaysia hari ini mencerminkan komitmen kami untuk menyumbang semula kepada komuniti sekali gus memperkasakan generasi akan datang.
“Diharap kerjasama antara Gas Malaysia, Pejabat Pendidikan Daerah dan SMKBBK ini dapat membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan untuk memulakan sesi persekolahan yang akan bermula tak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Back To School Gas Malaysia di SMKBBK, di sini, hari ini.
Tambah Ahmad Hashimi, setiap tahun Gas Malaysia akan memperuntukkan dana sebanyak RM1 juta bagi menjayakan program-program CSR di seluruh negara.
Sementara itu, Pengetua SMKBBK, Hanishah Mohd. berkata, daripada keseluruhan pelajar berjumlah 1,686 di sekolah tersebut, 81 peratus daripadanya adalah golongan B40 yang memerlukan bantuan.
Ujarnya, pihaknya tidak dapat menyembunyikan rasa terkejut malah menzahirkan rasa syukur apabila terpilih sebagai salah sebuah sekolah yang menerima bantuan alat persekolahan daripada Gas Malaysia.
“Sebenarnya ramai pelajar B40 dalam sekolah ni tapi yang kami saring seramai 350 orang ini antara yang benar-benar memerlukan bantuan.
“Sepanjang saya bertugas di sini sejak 2020, saya berusaha nak bantu anak-anak yang susah di sini supaya mereka dapat hadir ke sekolah dan menuntut ilmu seperti pelajar-pelajar lain.
“Sebab itu saya rasa sangat bersyukur sekolah kami terpilih dan berharap agar sumbangan yang diberikan dapat menyuntik semangat buat pelajar-pelajar untuk memulakan sesi persekolahan pada Mac depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














