fbpx

Cik Puan Gojes berhenti jadi guru demi kerja kebajikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELAIN aktif dalam kerja kebajikan, Ismaniza Fahida turut menjalankan perniagaan kosmetik.

KISAHNYA membawa 30 murid makan di restoran makanan segera pada tahun 2022 tular dalam media sosial sehingga mendapat perhatian masyarakat.

Disebabkan itu, bekas pendidik, Ismaniza Fahida Ismail atau lebih dikenali sebagai Cik Puan Gojes (CPG) mula aktif dalam kerja-kerja kebajikan.

Ceritanya, dia sering menggunakan sepenuhnya platform media sosial sejak beberapa tahun lalu untuk berkongsi kerja-kerja amal dan kebajikan dalam usaha membantu lebih ramai orang memerlukan.

“Saya tubuhkan Pertubuhan Cik Puan Gojes Malaysia pada 13 Julai 2022 dengan hasrat untuk membantu masyarakat tanpa sebarang sekatan.

“Sebelum sampai ke tahap ini, saya pernah berkhidmat sebagai guru bahasa Inggeris selama lebih 18 tahun.

“Kesusahan anak murid yang datang daripada keluarga asnaf dan miskin telah menggerakkan hati saya untuk melakukan kerja-kerja amal.

“Disebabkan itu, saya telah mengasaskan perniagaan sendiri bagi tujuan itu,” katanya kepada Aura.

Tambah wanita berusia 42 itu, disebabkan ingin berbakti kepada masyarakat dan mengusahakan perniagaan kosmetik, dia memilih menamatkan kariernya sebagai guru pada Jun 2022.

“Saya enggan mencemarkan imej perguruan jika gagal menumpukan perhatian sebagai penjawat awam sepenuh masa.

“Jadi, saya mengambil keputusan dan nekad berhenti agar boleh menumpukan perhatian kepada kerja-kerja kebajikan tanpa halangan,” katanya yang kali terakhir menabur bakti di Sekolah Kebangsaan Syed Sheh, Baling, Kedah.

ISMANIZA FAHIDA pernah berkhidmat sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Syed Sheh.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, pada awalnya, agak sukar membuat pilihan.

Disebabkan, perniagaan kosmetik diusahakan menguntungkan dan boleh membantu lebih ramai orang susah, maka dia bulatkan hasratnya itu.

“Sebelum ini, saya pernah mengambil cuti tanpa gaji selama enam bulan pada 2016 untuk tumpukan perhatian membina jenama kosmetik CPG sambil melakukan kerja kebajikan.

“Selepas tamat cuti, saya mengajar semula dan pulang ke rumah sekitar pukul 3 petang.

“Jadi, masa melakukan kerja kebajikan amat terhad. Disebabkan itu, saya mengundur diri meskipun kerjaya guru amat mulia.

“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana mampu sebarkan ‘kemuliaan’ dengan membantu orang di sekeliling yang memerlukan,” ungkapnya.

ISMANIZA FAHIDA (tengah) terkenal dengan sikap pemurah kerana sering membantu golongan yang memerlukan.

Menariknya, Ismaniza Fahida turut memberi bantuan hingga ke luar negara termasuk Filipina dan India.

Hasil kerja keras tanpa mengharapkan balasan, kerja-kerja kebajikannya itu ‘dihidu’ pihak berkepentingan.

Rentetan itu, dia telah dinobatkan Ikon Wanita Malaysia 2022 oleh Wanita Ikon Malaysia (KWIM) anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Hasil kemenangan tersebut, wanita kelahiran Baling itu membawa pulang trofi, wang tunai RM30,000 dan barang kemas bernilai RM10,000.

“Alhamdulillah, biarpun diiktiraf menerusi anugerah ini, namun saya tetap menjadi diri sendiri dan berpegang pada niat asal.

“Perjalanan untuk menjadi CPG ini bukannya mudah kerana ketika melakukan kerja kebajikan, banyak juga kecaman dan cemuhan yang saya terima.

“Namun, saya sentiasa berlapang dada kerana mereka tidak berada di tempat saya.

“Suami saya, Mohd. Rozaini Khazali merupakan tulang belakang yang paling kuat memberi sokongan kepada saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI