fbpx
muhammad HAIQAL atau lebih dikenali sebagai Sultan Riq berjaya memenangi kategori Best of Gaming pada TikTok Award 2023.

Sultan Riq takluki dunia ‘game’ di media sosial, raih RM10,000 sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JARI-JEMARI lelaki yang dikenali sebagai Sultan Riq dalam arena penstriman permainan video itu tangkas menggerakkan kekunci pada skrin iPad miliknya.

Setiap pergerakan bakal menentukan nasib pasukannya dalam perlawanan komuniti permainan dalam talian, Mobile Legends (ML).

Di depan pemilik nama sebenar Muhammad Haiqal Ahmad Yatim itu terdapat imej permainan dipaparkan menerusi satu skrin komputer.

Satu lagi skrin digunakan untuk memaparkan komen-komen daripada penonton yang hadir ke dalam ruangan tersebut.

Biarpun dia berkeseorangan dalam sebuah studio kecil, namun lelaki berusia 26 tahun itu lantang melontarkan suaranya menerusi mikrofon.

Sesekali, dia menerima ‘hadiah’ daripada komuniti kecilnya, sebelum ditukar kepada bentuk wang.

Berkongsi cerita tentang perjalanan menjadi selebriti penstriman permainan video, anak jati Selangor itu berkata, sudah hampir enam tahun dia berkecimpung dalam dunia tersebut.

“Saya mula bermain ML pada tahun 2017 dengan menggunakan telefon bimbit sahaja. Pada asalnya, ia sekadar hobi.

“Saya betul-betul jadi penstrim permainan video bermula 2019. Saya pilih jenama ‘Sultan Riq’ kerana sultan melambangkan seorang yang kaya dalam dunia permainan video.

“Siapa sangka, nama itu membawa tuah sehingga saya berjaya merangkul beberapa anugerah.

“Antaranya, anugerah Best Of Gaming di TikTok Awards Malaysia 2023 dan Outstanding Story Telling di Mobile Legends Award 2023,” katanya kepada K2.

Muhammad Haiqal ditemui ketika menjadi salah seorang panel pempengaruh di Konvensyen EsportsCon Malaysia 2024 di Spacerubix, Puchong, Selangor baru-baru ini.

Sebagai rekod, akaun TikTok miliknya memiliki 945,600 pengikut yang terdiri daripada komuniti permainan video dari dalam dan luar negara.

Dia yang terkenal dengan tagline, ‘memang awaklah orangnya’ itu berjaya menambat hati peminat dari pelbagai latar belakang.

Pencapaian tersebut hasil usahanya melakukan penstriman permainan video, membuat kandungan berbentuk perkongsian ilmu serta kolaborasi dengan pelbagai produk.

MUHAMMAD HAIQAL (kiri) telah dijemput menjadi panel pempengaruh di Konvensyen EsportsCon Malaysia 2024.

Bahkan, bapa kepada dua cahaya mata itu memiliki kelab peminat tersendiri yang diberi nama Riqqers (peminat umum) dan Riqqers VVIP (peminat melanggan program VVIP).

Bagi peminat VVIP, mereka berpeluang bermain dengan Sultan Riq setiap kali sesi penstriman dilakukan dan berpeluang menghadiri perjumpaan peminat secara bulanan.

Sementara itu, peminat berpeluang untuk bermain bersama Sultan Riq dalam sesi penstriman seminggu sekali.

Hasil kreativiti Muhammad Haiqal mempelbagaikan sumber kewangan, pendapatan bulanannya kini mampu mencecah hampir RM10,000.

Kongsinya, seseorang itu tidak perlu menjadi pemain profesional untuk berjaya dalam bidang berkaitan permainan video.

“Sebenarnya, seseorang itu tidak perlu hebat bermain untuk menjadi pembuat kandungan media sosial atau penstrim permainan video berjaya.

“Perkara paling penting adalah cara kita memenuhi keperluan khalayak sama ada mereka perlukan info atau hiburan.

“Semua ini boleh dikaji dan difahami dahulu sebelum kita berkongsi. Saya juga banyak belajar dengan penstrim lain sampai ke tahap ini,” katanya.

Sedikit latar belakang, e-Sukan atau sukan elektronik bermula dengan kewujudan arked hiburan pada 1970-an, sebelum beralih kepada permainan komputer peribadi pada awal 90-an.

Pada akhir 1990-an, muncul perkhidmatan kafe siber, sekali gus membolehkan penyertaan permainan video secara kompetitif dilakukan.

Kemuncak trend permainan video dapat dilihat pada lewat 2000-an apabila kehadiran platform atas talian telah membuka ruang untuk permainan dimainkan pada skala global.

Kini, terdapat 10 jenis e-Sukan iaitu Multiplayer Online Battle Arena (MOBA), First-Person Shooter (FPS), Real-Time Strategy (RTS), Battle Royale, simulasi sukan, permainan kad, Fighter Games, perlumbaan, permainan telefon dan virtual realiti.

Ini secara tidak langsung telah mendorong kemunculan lebih ramai pemain-pemain profesional, penstrim dan pencipta kandungan dalam ekosistem e-Sukan.

Mengulas mengenai cabaran yang dihadapi, anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, dia menghadapi skeptikal daripada orang ramai termasuk ibu bapanya.

Namun, dia memiliki strategi untuk menambat hati orang tuanya dengan tidak mengabaikan pelajaran sepanjang menceburi bidang penstriman dan pembuat konten permainan video.

Berkat ketaatan terhadap harapan ibu bapanya itu, dia kini memegang Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Pendidikan dari Universiti Sains Malaysia.

MUHAMMAD HAIQAL menandatangani beg tote salah seorang peminatnya.

Biarpun tidak menjadi seorang guru, namun Muhammad Haiqal berkata, ilmu yang ditimba di menara gading merupakan antara penyumbang kepada kejayaannya ketika ini.

“Saya mengaplikasikan kemahiran berfikir secara kritis dalam merancang kandungan, menjalinkan kerjasama dengan jenama besar serta meneliti peluang-peluang seterusnya.

“Selain itu, saya perlu berketerampilan dalam membawa imej sebagai pempengaruh. Semua ini berkat ilmu yang ditimba selama ini,” jelasnya.

Ujarnya lagi, isterinya, Norafifah Ainaa Juliadi, 26, merupakan tulang belakang yang sentiasa memberi sokongan terhadap minatnya itu.

Sebagai seorang ayah dan suami, Muhammad Haiqal akui perlu bijak untuk terus menerokai cabang-cabang rezeki berdasarkan peluang terhidang.

Justeru, dia meninjau potensi untuk mengadakan kelas persendirian untuk mengajar individu yang mahu berjinak-jinak dalam dunia e-Sukan.

Dari segi kandungan video, dia mahu mencipta kelainan dengan menghasilkan kandungan video yang menggabungkan elemen pelancongan serta permainan video.

Tidak terhenti di situ, Muhammad Haiqal juga berhajat mahu menghasilkan rangkaian produk dengan jenama Sultan Riq.

“Saya mahu ubah mindset (fikiran) orang ramai bahawa e-Sukan hanya terhad kepada pemain profesional atau penstrim sahaja.

“Sebaliknya, banyak lagi cabang sumber pendapatan yang boleh diterokai dalam ekosistem e-Sukan itu sendiri,” ujarnya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN