fbpx

Sembunyi syabu RM1.32 juta dalam petak simpanan ikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Muhaimin (kanan) menunjukkan bungkusan syabu pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Selangor, hari ini. - Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

KLANG – Taktik sekumpulan nelayan menyembunyikan 40.3 kilogram syabu bernilai RM1.32 juta dalam petak simpanan ikan untuk ‘dieksport’ ke Indonesia gagal apabila diserbu Maritim Malaysia (APMM) di jeti nelayan Sekinchan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, turut berjaya menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 44 tahun dalam pengaruh syabu.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, unit risikan dan pasukan serbuan daripada Kapal Maritim (KM) Bagan Datuk yang sedang melaksanakan operasi harian telah memeriksa sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang berada di jeti tersebut.

Katanya, semasa pemeriksaan dilakukan tiga lelaki termasuk tekong telah terjun ke dalam air dan berjaya meloloskan diri.

“Bagaimanapun, kita berjaya menahan seorang lelaki Indonesia dalam pengaruh dadah dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil pemeriksaan telah membawa kepada penemuan dua guni berisi keseluruhan 38 bungkusan teh cina jenis Guangyinwang disyaki syabu yang disimpan di dalam petak simpanan ikan atas bot tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Selangor hari ini.

Anggota operasi melakukan pemeriksaan pada bungkusan berisi syabu dengan suspek lelaki (belakang) yang ditahan APMM Selangor. – Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

Menurut beliau, suspek yang ditahan itu baharu bekerja dua minggu di bot tersebut dengan kita mempercayai kumpulan ini baharu ingin keluar ke laut untuk penyeludupan.

Tambah Abdul Muhaimin, pihaknya turut mempercayai mereka telah melakukan kegiatan penyeludupan dadah sebelum ini dengan menyalahgunakan bot nelayan kelas tersebut yang dibenarkan beroperasi lebih 15 batu nautika (28 kilometer) dari pesisir pantai.

Jarak perjalanan antara jeti nelayan dengan sempadan perairan negara dan Indonesia adalah kira-kira dua jam menerusi enjin berkuasa kuda 10 knot atau 20 kilometer sejam.

“Siasatan masih dilakukan dari mana dadah tersebut diperoleh dan upah bagi satu-satu penghantaran dadah itu.

“Kesemua barangan rampasan termasuk bot dan suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk siasatan lanjut. Ini merupakan rampasan terbesar sejak 2021,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Imigresen 1959/63. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI