TELUK INTAN – Seorang wanita tekad membawa abangnya yang kini terlantar di atas katil akibat menderita sakit kanser buah pinggang untuk tinggal bersamanya di Parit Tiga, Sungai Manik di sini sejak November tahun lalu.
Narihan Sadri, 43, berkata, sebelum ini abangnya, Mohd. Nazri, 51, tinggal bersendirian di rumahnya Taman Bahagia, di sini, selepas kematian isterinya pada tahun 2022.
Menurut Narihan, abangnya menderita penyakit itu sejak 2018 lagi, tetapi makin serius dan tidak dapat berjalan selepas jatuh dari katil pada tahun lalu dan kini kanser telah merebak ke bahagian paru-paru.
“Saya tidak sampai hati melihat abang tinggal seorang diri. Sakit dan demam hanya ditanggung sendiri, jadi saya bawa untuk tinggal bersama untuk menjaga setiap keperluannya dengan bantuan suami.
“Sekarang memang beliau tidak boleh menguruskan diri sendiri dan hanya terlantar di atas katil. Beliau tidak boleh makan dan hanya minum susu khas, tiub kencingnya perlu ditukar dengan kerap dan perlu dipakai lampin dewasa untuk urusan membuang air besar.
“Beliau juga tidak mampu berdiri dan duduk lama kerana bahagian pinggulnya yang sakit, selain tidak boleh bertutur dengan lancar selain sering lupa ingatan,” katanya ketika ditemui di Parit Tiga, Sungai Manik di sini kelmarin.
Narihan berkata, dia perlu memperuntukkan perbelanjaan kira-kira RM1,200 untuk susu khas, RM160 untuk lampin dewasa, selain RM240 bagi bayaran tiub kencing abangnya yang dilakukan oleh jururawat swasta.
Semua ini ujarnya, tidak termasuk kadar sewa van hospital semasa janji temu dengan doktor pakar di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang.
“Saya dan suami hanya bekerja sendiri dan pendapatan tidak menentu tetapi keutamaan saya hanya ingin abang menjalani kehidupan dengan lebih selesa.
Ujarnya, abangnya mempunyai lapan anak tiri, namun semuanya sudah berkeluarga dan ada tanggungan sendiri.
Katanya lagi, abangnya menerima bantuan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, selain ada memohon bantuan Baitumal bagi keperluan susu khas dan lampin dewasa, tetapi masih menanti jawapan daripada agensi berkenaan.
Katanya lagi, anak tiri abangnya ada juga menghulurkan wang, tetapi tidak kerap selain sumbangan orang kampung dan kariah masjid, namun tidak mencukupi bagi menampung keperluan semasa abangnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Narihan di talian 011-2866 0801.














