fbpx

Abang maut, dua adik bonceng motosikal cedera nahas ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD IQMAL disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala dua adiknya cedera dan dikejarkan ke Hospital Alor Gajah, Melaka.

ALOR GAJAH – Seorang remaja lelaki maut, manakala dua adiknya cedera selepas motosikal yang mereka tunggang bersama merempuh sebuah kereta di Jalan Telok Gong, Pengkalan Balak, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu, mangsa, Mohamad Iqmal Daniel Iskandar, 16, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Derah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC bersama dua adiknya, masing-masing berusia 11 dan 13 tahun dalam perjalanan dari arah Kuala Sungai Baru menghala ke Masjid Tanah.

“Nahas dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Axia dari arah sama yang dipandu seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun telah membelok ke kiri untuk memasuki simpang ke rumahnya.

“Mangsa yang datang dari belakang telah melanggar bahagian belakang sebelah kanan kereta tersebut dan akibat pelanggaran itu, penungang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Tambahnya, dua pembonceng motosikal terselamat, namun mengalami kecederaan di mulut serta kaki dan telah dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan lanjut.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, ketika kejadian remaja itu dikatakan dalam perjalanan menghantar dua adiknya ke sekolah.

“Tiada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, mahupun saksi bebas yang melihat kemalangan tersebut.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat, manakala pemandu kereta diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Katanya lagi, kenderaan terlibat akan di bawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI