RAMAI pihak beranggapan apa yang penting dan sentiasa dikenang dalam hidup adalah pengakhiran berbanding permulaan sesuatu perkara.
Justeru, bukanlah sesuatu yang pelik apabila skuad Harimau Malaya diangkat seperti wira negara apabila pulang ke tanah air meskipun tersingkir awal pada kempen Piala Asia 2023 di Qatar yang sedang berlangsung ketika ini.
Merangkum semula perjalanan skuad kebangsaan, pasukan bimbingan Kim Pan-gon telah memulakan kempen peringkat Kumpulan E dengan hambar apabila menjadi mangsa belasahan Jordan apabila tewas 0-4.
Kritikan pedas dilemparkan penyokong bola sepak negara mengenai formasi taktikal serta barisan pemain yang diletakkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan ketika itu.
Seperti akur dengan permintaan netizen, Pan-gon memperkemaskan taktikal dengan Harimau Malaya dilihat lebih solid ketika bertemu Bahrain, tetapi masih tidak bernasib baik apabila kalah 0-1 hasil jaringan lawan pada masa kecederaan.
Situasi berubah 360 darjah pada perlawanan yang dinantikan menentang pilihan utama, Korea Selatan pada perlawanan terakhir kumpulan yang mana Pan-gon membariskan ramuan terbaik skuad kebangsaan.
Kesebelasan utama ketika itu adalah pemain utama yang membantu skuad kebangsaan pada kempen kelayakan dengan jentera serangan diketuai Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Darren Lok.
Apa yang berlaku pada perlawanan itu tidak perlu lagi dihuraikan kerana sepanjang 117 minit saingan cukup membuatkan rakyat Malaysia beremosi seperti tidak percaya.
Selepas lebih 25 tahun tidak menentang Korea Selatan di pentas antarabangsa, barisan pemain negara boleh ‘berdiri sama tinggi’ untuk mengikat pasukan ranking No. 23 dunia itu dengan keputusan 3-3.
Lebih manis, kita berjaya meraih mata pertama di pentas Piala Asia ketika bertemu pasukan elit seperti Korea Selatan. Mungkin jika kita kutip mata bertemu negara seperti India, Hong Kong atau Vietnam, perasaan penyokong bola sepak negara tidak ‘meledak’ seperti ini.
Pemerhati bola sepak negara, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, keputusan itu agak mengejutkan kerana tiada siapa menjangka skuad Harimau Malaya boleh meraih keputusan positif ke atas Korea Selatan.
“Ini keputusan luar biasa kerana berjaya ikat pasukan lawan dengan jaringan besar.
“Jika dilihat rekod lepas, pasukan negara agak kompetitif ketika bertemu Korea Selatan, tetapi kali terakhir kita seri menentang mereka adalah pada 1984.
“Saya percaya kerja keras pemain boleh dibanggakan, tetapi kita perlu kekal realistik dan fokus dengan aksi lebih penting pada kelayakan Piala Dunia 2026 nanti,” katanya.
Sementara itu, Arif Aiman berpendapat, apa yang rakan-rakan pamerkan pada kempen Piala Asia 2023 adalah titik permulaan buat pasukan kebangsaan untuk tampil lebih menyerlah pada masa depan.
“Saya tahu ramai kritik pasukan, tetapi itu tidak penting sebab bola sepak Malaysia sedang meningkat.
“Hasil tidak akan dapat dalam masa singkat dan pasukan perlukan masa untuk lawan negara terbaik di Asia,” kata pemain berusia 22 tahun itu.














