fbpx

4,000 warga kota imarahkan Program Wilayah Persekutuan Berselawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara warga kota yang mengimarahkan program Wilayah Persekutuan Berselawat yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, malam ini.

KUALA LUMPUR – Hampir 4,000 penduduk sekitar Kuala Lumpur menyertai program Wilayah Persekutuan Berselawat yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, malam ini.

Program yang diadakan Sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tersebut merupakan pembuka tirai kepada 28 lagi program yang dirancang sepanjang tahun 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, program seumpama itu seharusnya dijalankan secara berterusan bagi menyemarakkan lagi aktiviti pengimarahan masjid dan surau.

Beliau berkata, program-program rohani yang dirancang juga diharapkan dapat menarik minat lebih ramai anak muda untuk mengimarahkan masjid terutamanya pada solat Subuh.

“Kehadiran hari ini yang mencecah 4,000 orang boleh dijadikan sebagai satu penanda aras bagi untuk Wilayah Persekutuan untuk memperluaskan lagi kempen Subuh macam Jumaat.

“Berkat usaha pelbagai pihak, kita boleh lihat semakin ramai anak muda yang turun untuk menunaikan bukan sahaja pada Subuh tetapi juga pada waktu solat lain di masjid-masjid.

“Bukan itu sahaja, tiap waktu solat kita boleh jadikan kehadirannya seperti solat Jumaat supaya dapat menjadi contoh buat negeri-negeri yang lain,” katanya pada sidang akhbar di pekarangan Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Tambah Dr. Mohd. Na’im, program pada malam tersebut juga selaras dengan dasar Malaysia Madani yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memelihara perpaduan rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan rakyat beragama Islam.

“Alhamdulillah, hari ini saya lihat objektif program telah tercapai, antaranya ialah menjalinkan silaturrahim antara masyarakat dan penduduk sekitar Wilayah Persekutuan.

“Sehubungan itu, saya menyeru dan memohon kepada semua masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan agar terus memacu kecemerlangan dan bergerak ke hadapan, sesuai dengan seruan azan Hayya Alal Falah,” katanya.

Pada program tersebut, sesi tausiyah telah disampaikan oleh tokoh pendakwah Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid.

Turut diadakan Doa Untuk Malaysia serta bacaan selawat dan qasidah yang menampilkan kumpulan nasyid Inteam dan Almawlid.

Malam ini, Program Wilayah Persekutuan Berselawat juga dilaksanakan secara serentak pada di Masjid Jamek An-Nur, Labuan dan Masjid Mahmoodiah, Putrajaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI