fbpx

Upah RM10,000 bawa dadah ke Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein menunjukkan barang rampasan dadah jenis Methamphetamine pada sidang akhbar berhubung kejayaan tangkapan dan rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/ KOSMO!

SEPANG – Cubaan tiga sekawan termasuk pasangan suami isteri menyeludup syabu seberat 36.53 kilogram (kg) gagal apabila mereka ditahan di tempat letak kenderaan sebuah kondominium di sini pada 24 Januari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, penahanan dua suspek lelaki dan seorang wanita berusia 24 hingga 34 tahun itu dibuat pukul 10.30 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sepang.

“Polis merampas sebanyak 38 bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki methamphetamine yang dibawa tiga suspek di dalam tiga bagasi.

“Siasatan awal mendapati suspek mahu menuju ke lapangan terbang untuk menaiki penerbangan ke Miri, Sarawak pada pukul 12 tengah hari,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang hari ini.

Menurut beliau, tangkapan itu dibuat hasil maklumat yang diterima daripada Polis Miri selepas menahan seorang individu bersama bagasi berisi dadah.

Siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek merupakan keldai dadah yang diupah RM10,000 bagi membawa dadah dari ibu negara ke Sarawak. Mereka dipercayai aktif melakukan aktiviti itu sejak pertengahan tahun lalu.

“Ini kali ketiga mereka lakukan (seludup dadah). Dua kali sebelum ini mereka berjaya lepas ke Sarawak,” ujarnya.

Tambahnya, nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM1.2 juta dipercayai untuk pasaran Sarawak. Suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI