fbpx

Pendapatan peserta IPR lebih tinggi berbanding median gaji nasional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAFIZI ketika melawat tapak tanaman sayur pada pelancaran projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) - Inisiatif Usahawan Tani Wilayah Ekonomi Koridor Utara di Ulu Kinta, Ipoh pada bulan lalu.

PETALING JAYA – Perolehan bulanan peserta Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Tani (IPR Intan) adalah lebih tinggi berbanding gaji median pekerja formal negara pada RM2,600, yang sebahagian besarnya merupakan pemegang dip­loma dan ijazah.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli semalam berkongsi sampel pendapatan tujuh orang peserta IPR Intan di Putrajaya, yang mana julat tambahan pendapatan bulanan dijana bagi setiap kitaran pertanian mereka selama empat bulan ialah antara RM3,000 dan RM5,800.

“Formula pertanian moden untuk membasmi kemiskinan telah berjaya dibuktikan di beberapa tapak di seluruh negara. Amanah saya ialah meluaskan IPR Intan di seluruh negara de­ngan segera.

“Sasaran kami ialah mewujudkan peluang ini kepada 20,000 peserta di seluruh negara menjelang akhir 2025.

“Ini bersamaan dengan peluang pekerjaan yang diwujudkan dengan membina 200 pusat data, yang memerlukan pelaburan beratus bilion kerana kilang moden tidak menggunakan ramai pekerja,” katanya dalam hantaran di media sosial semalam.

Menurut Rafizi, terdapat beberapa punca utama beberapa projek pertanian yang melibatkan peserta berpendapatan rendah sebelum ini tidak berjaya sebagaimana yang dirancang.

Pertama ialah risiko operasi iaitu apabila tanaman diserang penyakit dan mutu tuaian tidak baik; kedua risiko pasaran de­ngan harga tidak menentu; ketiga hasil dijana tidak dapat menampung kos buruh/masa, kos baja dan operasi.

Jelasnya, kesemua ini mendorong kepada risiko yang terakhir, iaitu peserta cepat berputus asa dan akhirnya segala bantuan seperti modal, polybag untuk menanam, baja dan lain-lain di­tinggalkan peserta selepas satu musim, atau belum pun mencapai satu musim.

“Pendekatan IPR Intan yang melihat tapak pertanian sebagai satu ‘kilang’ cuba menyelesaikan semua risiko ini.

“Peserta menjadi pekerja yang menguruskan plot yang telah dibangunkan dengan kaedah pertanian moden dan diberi latihan. Kalau mereka putus asa awal, akan ada peserta baharu yang masuk untuk menyambung, seperti pekerja kilang baharu mengganti yang telah berhenti.

“Kontrak jualan telah diikat dengan pembeli pada harga ter­tentu supaya peserta tidak perlu menjual hasil sendiri. Kos operasi telah dimasukkan dalam ke­seluruhan perancangan kewa­ngan, bukannya diberikan dalam bentuk modal dan baja kepada peserta,” ujarnya.

Rafizi berkata, peserta diberi jaminan menerima sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan setiap kali pusingan tanaman, dengan elaun RM600 sebulan dalam dua hingga tiga bulan pertama sebelum boleh dituai.

Tegasnya, ketika semua peran­cangan cantik di atas kertas, buktinya hanya diketahui apabila satu pusingan tuaian berjaya.

“Selepas beberapa tapak IPR Intan sudah mula dituai, saya suka berkongsi bahawa pendapatan bulanan purata yang dijana peserta jauh lebih tinggi dari sasaran minimum RM2,000 sebulan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI