fbpx

Cuaca panas burukkan krisis di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk berada di luar khemah kerana keadaan panas di Rafah kelmarin. - AFP

BANDAR GAZA – Suhu tinggi memburukkan krisis kemanusiaan di Gaza selepas beberapa laporan menyebut bahawa dua kanak-kanak meninggal dunia akibat cuaca panas ketika berada di dalam khemah, lapor laman berita The New Arab kelmarin.

Kira-kira 1.2 juta rakyat Palestin kini berlindung di dalam khemah plastik sekitar bandar Rafah di selatan Gaza.

Mereka menghadapi keadaan hidup yang teruk dengan kekurangan air bersih serta akses kepada kemudahan mandi termasuk penggunaan tandas ketika suhu mencecah 40 darjah Celsius minggu ini.

Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini berkata, sekurang-kurangnya dua kanak-kanak meninggal dunia akibat cuaca panas.

“Sejak beberapa hari lalu, Gaza mengalami gelombang panas yang luar biasa.

“Kami menerima laporan bahawa sekurang-kurangnya dua kanak-kanak mati akibat cuaca panas ekstrem. 

“Apa lagi yang perlu mereka tanggung? Kematian, kelaparan, penyakit dan kini mereka tinggal di dalam struktur seperti rumah hijau di bawah panas terik,” tulis Lazzarini dalam catatan di platform X.

Menurut laporan, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima bulan meninggal dunia pada 25 April lalu akibat suhu tinggi, lapor Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB. 

Agensi PBB menyatakan bahawa kebanyakan keluarga tinggal di dalam struktur asas yang diperbuat daripada sisa dan kepingan plastik yang tidak sesuai untuk didiami.

Sementara itu, jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric berkata, kekurangan akses kepada air tawar menimbulkan ancaman yang semakin meningkat kepada kesihatan awam apabila suhu meningkat.

Iklim Mediterranean di Gaza membawa cuaca panas yang pada kebiasaannya berlaku dari sekitar bulan Mei hingga Oktober dengan membawa tahap kelembapan tinggi dan suhu mencecah 38 darjah Celsius pada Ogos.

Keadaan itu dijangka membawa kesengsaraan lebih mendalam bagi penduduk Gaza, manakala pegawai-pegawai bantuan bimbang ia akan memburukkan lagi penyakit yang semakin meningkat.

Pejabat pentadbiran Gaza memberi amaran pada minggu lalu bahawa sampah-sarap dan sisa kumbahan membanjiri jalan-jalan dan mewujudkan tempat pembiakan untuk penyebaran penyakit. 

Dalam masa sama, kes cirit-birit mencatatkan peningkatan selain Hepatitis A turut melonjak.

Seorang lelaki Palestin yang berpindah dari Bandar Gaza, Mustafa Raswan menerusi temu bual dengan UNRWA berkata, tinggal di dalam khemah dalam cuaca panas diibaratkan seperti berada di dalam rumah hijau.

Menurutnya, khemah-khemah sebelum ini digenangi air semasa musim sejuk dan kini, cuaca panas menyebabkan tiada sesiapa yang mampu bertahan untuk duduk di dalamnya.

“Semua perkara berlaku satu persatu. Semuanya adalah derita selepas kehilangan tempat tinggal,” kata Raswan dalam video yang disiarkan di akaun X UNRWA. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI