APABILA sebut tentang bandar Rosario di Argentina, mungkin ramai tidak mengetahui akan nama tempat tersebut.
Namun, bagi mereka yang cinta dan minat dengan bola sepak, nama tempat tersebut bukanlah asing.
Ini kerana, Rosario yang merupakan sebuah bandar pelabuhan kecil yang memerlukan empat jam perjalanan dari Buenos Aires mempunyai reputasi besar dalam arena bola sepak.
Apa tidaknya, sejumlah bakat besar pemain bola sepak dunia berasal dari kawasan itu.
“Rosario mempunyai reputasi sebagai tempat penghasilan pemain bola sepak hebat.
“Ia juga dikenali sebagai la cuna de futbol atau buaian bola sepak.
“Ramai pemain terbaik Argentina berasal dari bandar ini seperti Lionel Messi, Angel Di Maria, Mauro Icardi dan lain-lain lagi,” kata Javier Wainer yang bekerja sebagai peninjau sebuah kelab divisyen perdana, Racing di Buenos Aires.
Mengulas lanjut, Wainer berkata, ramai pemain yang bagus di Argentina berasal dari kawasan berkenaan.
“Rosario adalah bandar impian.
“Bandar ini sama dengan Montevideo di Uruguay yang menjadi tempat kelahiran ramai pemain hebat.
“Ramai pemain dari Montevideo telah memenangi Piala Dunia pada 1930 dan 1950.
“Kedua-dua bandar ini mempunyai kepadatan penduduk yang kecil.
“Namun, ramai pemain hebat yang berjaya dilahirkan di kedua-dua bandar ini. Ia sangat mengagumkan apabila memikirkannya,” jelasnya.
Malah, beberapa pemain hebat yang berasal dari Rosario mempunyai nilai tinggi dalam liga-liga bola sepak terbesar di Eropah.

Mereka termasuk beberapa pemain terbaik dalam La Liga di Sepanyol seperti Ever Banega di Sevilla, Giovani Lo Celso (Real Betis) dan Ezequiel Garay yang memenangi Copa del Rey bersama Valencia.
Ada juga nama besar dari Rosario yang bermain dalam La Liga seperti Angel Correa di Atletico Madrid.
Sementara itu, bek tengah AC Milan, Mateo Musacchio yang bermain di Serie A juga berasal dari bandar berkenaan.
Dalam pada itu, antara faktor yang mendorong kejayaan Rosario menghasilkan pemain hebat adalah kerana kewujudan dua kelab bola sepak di bandar itu.
Dua kelab berkenaan ialah Rosario Central dan Newell’s Old Boys.
Bagaimanapun, kedua-dua kelab berkenaan tidak dapat menandingi kuasa perbelanjaan pasukan lebih besar di Buenos Aires seperti Boca Juniors, River Plate dan Independiente.
“Rosario tidak mempunyai ‘otot ekonomi’ seperti yang dimiliki Buenos Aires.
“River Plate dan Boca Juniors boleh membeli mana-mana pemain dan mereka mempunyai lebih banyak wang daripada kelab bola sepak di Rosario.
“Kelab besar ini juga mempunyai hubungan politik dan sejarah penting dengan kuasa pusat Buenos Aires.
“Jadi, dua kelab di Rosario ini terpaksa bergantung pada pembangunan pemain baharu, sebelum menjualnya pada harga terbaik.
“Ia bagi membolehkan kelab menjana lebih banyak wang. Kesannya, akademi remaja kedua-dua kelab di sini lebih kukuh,” jelas Ale Mangiaterra, seorang wartawan di stesen Radio2 Rosario.
Sebagai contoh, Rosario Central terpaksa menjual Giovani Lo Celso kepada Paris Saint-Germain (PSG) dan Franco Cervi ke Benfica.
Begitu juga Newell’s Old Boys yang terpaksa kehilangan beberapa pemain bola sepak hebat seperti Messi pada usia 12 tahun.
Kelab berkenaan juga terpaksa melepaskan Maxi Rodriguez ke Atletico Madrid sebelum pemain itu berhijrah ke Liverpool.
Kini, Rodriguez kembali ke Newell’s Old Boys pada penghujung kariernya.

Sementara itu, seorang ahli perniagaan dari Rosario, Ruben Horacio Gaggioli yang merupakan individu mewakili Messi sewaktu ditandatangani Barcelona pada tahun 2000 berkata, ada sebab kawasan berkenaan berjaya melahirkan ramai pemain hebat.
Katanya, salah satu sebabnya adalah kerana pemain muda di bandar itu mempunyai ‘selera’ tidak pernah puas untuk berjaya.
“Dua kelab di Rosario banyak bekerja dengan pemain muda dan membangunkan mereka untuk pasukan utama.
“Pemain muda ini perlu menyara keluarga mereka.
“Keinginan mereka untuk berjaya sangat kuat kerana mereka bukan lahir daripada keluarga kaya.
“Mereka bukan kanak-kanak yang banyak wang. Ia berbeza dengan di Sepanyol, di mana pemain-pemain bawah umur boleh mempunyai kereta sendiri,” katanya.
Tambahnya, kanak-kanak di Rosario tidak mempunyai apa-apa dan apabila masuk ke padang, mereka akan menyerahkan nyawa sendiri untuk menang.
“Mereka mempunyai inti pati ini untuk menjadi pemain hebat.
“Namun, ia bukan hanya di bandar Rosario, malah kawasan-kawasan di sekitarnya. Terdapat zon pengaruh yang sangat kaya dengan pemain bola sepak.
“Malah, ramai pemain hebat seperti Jorge Valdano, Mauricio Pochettino dan Gabriel Batistuta berasal dari kawasan terpencil di negara ini,” katanya.
Menariknya, para pemain berkenaan lahir dari ‘potrero’ yang terkenal.
Potrero adalah tempat kanak-kanak bermain di jalanan iaitu di atas tanah yang terbuka dan tidak rata.
“Kelab-kelab seperti Newell’s Old Boys dan Rosario Central akan pergi ke kampung-kampung di sekitar untuk mencari kanak-kanak di potrero ini.
“Ia adalah kawasan pemburuan yang ‘subur’ dan kanak-kanak ini sangat berbakat main bola.
“Sudah pasti, pemain peringkat tinggi yang keluar dari Rosario lebih unggul berbanding negara-negara lain secara profesionalnya,” ujar Gaggioli.














