fbpx

Malaysia rekod 256 kes penyakit kusta tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Dzulkefly

PUTRAJAYA – Kes penyakit kusta baharu di Malaysia mecatatkan peningkatan iaitu daripada 183 kes pada tahun 2022 kepada 256 kes tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, peningkatan itu adalah sebanyak 73 kes atau 40 peratus.

Katanya, peningkatan ini adalah berikutan dengan pengukuhan aktiviti mencari dan mengesan kes secara bersasar di lapangan.

“Pengukuhan aktiviti ini adalah selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mencapai sasaran sifar kes kusta tempatan baharu menjelang tahun 2030.

“Pengesanan awal kes dan kontak rapat dapat mengawal penyakitkustadaripada terus merebak, manakala rawatan awal dapat mengurangkan dan mencegah komplikasi penyakit dan kecacatan kekal,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang dikeluarkan sempena Hari Kusta Sedunia 2024 yang disambut semalam dengan tema ‘Hentikan Kusta’.

Jelasnya, Kementerian Kesihatan (KKM) juga turut melaksanakan pemberian rawatan profilaksis Single Dose Rifampicin kepada kontak rapat dan komuniti berisiko seperti saranan WHO sebagai langkah tambahan dalam mengurangkan risiko penyakit kusta.

“KKM ingin menyeru setiap individu dan masyarakat untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang boleh mewujudkan kesedaran mengenai penyakit kusta.

“Persekitaran yang positif dan menyokong kepada pesakit terkesan dengan penyakit kusta amat diperlukan supaya kualiti hidup pesakit dapat dipertingkatkan, stigma serta diskriminasi dapat ditamatkan selain sasaran sifar kes kusta baharu tempatan dapat dicapai,” ujarnya.

Penyakit kusta juga dikenali sebagai penyakit Hansen atau leprosi ialah sejenis penyakit berjangkit kronik yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium Leprae menyerang kulit, membran mukosa dan saraf periferal.

Bakteria ini disebarkan melalui titisan cecair tersebar ke udara daripada pesakit dijangkiti kusta kepada kontak rapat yang terdedah dalam tempoh lama Purata tempoh inkubasi jangkitan adalah lima tahun dan boleh mencapai sehingga 30 tahun.

Hari Kusta Sedunia disambut pada hari Ahad terakhir bulan Januari setiap tahun, bagi memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat bahawa penyakit ini masih wujud selain boleh menjangkiti mereka yang berisiko. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI