Saudara Pengarang,
ISU peniaga atau pembekal menyorok bekalan minyak masak peket sudah lama berlaku dan perlu dihentikan demi kepentingan pengguna.
Dalam hal ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu melipatgandakan usaha bagi membanteras kegiatan tidak bertanggungjawab segelintir pengusaha premis perniagaan menyorok bekalan minyak masak peket tersebut.
Tindakan tidak bertanggungjawab mereka menyusahkan pengguna kerana ramai yang bergantung kepada minyak masak peket dalam urusan seharian, termasuk golongan peniaga jalanan.
Usaha KPDN Perak yang memaparkan operasi yang mereka lakukan menerusi media sosial amat dialu-alukan kerana ia membuktikan tindakan penguatkuasaan memberi kesan kepada pihak-pihak tidak bertanggungjawab menyorok bekalan tersebut.
Biarpun ia tidak dapat membanteras tindakan tidak bertanggungjawab itu secara total dalam masa singkat, ia sekurang-kurangnya memberi kelegaan kepada pengguna bahawa KPDN masih mendengar suara rakyat.
Dalam hal ini, pengguna perlu memainkan peranan masing-masing dengan menyalurkan maklumat tentang penyelewengan melibatkan peniaga kepada pihak berwajib untuk tindakan lanjut.
MARSHA MAISARAH MN
Sitiawan, Perak














