TEMERLOH – Seorang bapa tidak menyangka kegembiraan anak lelakinya memakai kasut bola yang baharu dibeli hanya bersifat sementara selepas kanak-kanak itu ditemui lemas bersama dua rakannya di kolam latihan sebuah kem tentera di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa Muhammed Shafiq Aswad Shahril Naim, 11, ditemukan lemas bersama dua rakannya, Amar Mukhlis Mohd Anizan, 13, dan Aiman Syafiq Sudirman, 11, di kolam berkenaan selepas dikatakan selesai bermain bola di padang berhampiran.
Menurut Shahril Naim, anaknya itu memang sangat meminati sukan bola sepak dan minta untuk dibelikan sepasang kasut bola yang baharu.
“Itulah kali pertama dia pakai kasut baharunya dan saya akui, Shafiq memang minat bola sepak dan selalu mewakili sekolah.
“Paling sukar dilupakan adalah detik-detik ketika kami menonton perlawanan Malaysia melawan Korea Selatan baru-baru ini.
“Saya dapat lihat arwah begitu gembira dan bersorak ketika meraikan jaringan pemain-pemain pasukan negara,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh di sini semalam.
Shahril Naim memberitahu, Shafiq yang merupakan anak kedua daripada lima beradik juga sangat akrab dengan kakak dan adik-adiknya selain bercita-cita menjadi pemain bola sepak negara satu masa kelak.
Sementara itu ibu mangsa, Noriah Rashid,35, berkata, dia tidak dapat melupakan sikap ringan tangan arwah anaknya yang sanggup menghantar pesanan kuih-muih kepada pelanggan dalam kem.
“Arwah memang rajin dan suka mengumpul duit,” katanya.
Sementara itu, Sudirman Mustaffa, 37, pula menyifatkan kehilangan anak sulungnya, Aiman Syafiq, 11, sebagai berita yang sangat mengejutkan seluruh keluarga.
Katanya, arwah sangat cergas dan bercita-cita menjadi seorang pegawai tentera untuk menjaga keselamatan negara.
“Saya tidak sangka pesanan terakhir arwah untuk datang mengambilnya pada pukul 6.30 petang menjadi detik menyedihkan apabila dia hanya mampu membawa pulang tubuh anaknya yang sudah tidak bernyawa.
“Pada petang itu saya menghantar arwah mengaji al-Quran dan dia meminta saya mengambilnya pukul 6.30 petang. Itulah hari terakhir saya berjumpa arwah,” katanya.
Dalam kejadian kelmarin, kegembiraan tiga kanak-kanak yang juga anak anggota tentera mandi di dalam kolam latihan kereta kebal di sebuah kem tentera berakhir dengan tragedi apabila mereka ditemukan lemas.















