fbpx

259 aduan menyamar pegawai MCMC diterima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MCMC

PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meminta orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan panggilan oleh individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai MCMC.

Ini kerana kata MCMC, sehingga Khamis lalu, pihaknya telah menerima sejumlah 259 aduan dan daripada jumlah tersebut 238 panggilan pertanyaan telah diterima bagi mengesahkan isu berkenaan.

Jelasnya, modus operandi panggilan yang diterima bermatlamat memperdaya mangsa bagi tujuan tertentu.

“Pemanggil akan mengancam mangsa dengan menyatakan terdapat aduan terhadap talian digunakan mangsa dan mendakwa mangsa telah melakukan kesalahan.

“Sekiranya mangsa gagal mengikut arahan yang diberikan, talian tersebut akan disekat atau disenarai hitam,” kata MCMC dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, MCMC berkata, sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai sesuatu urusan berkaitan dengan MCMC lazimnya dilakukan mengikut saluran rasmi seperti e-mel, laman sesawang atau platform media sosial milik MCMC.

Ujarnya, pihak berkuasa termasuk MCMC tidak akan meminta butiran dan maklumat perbankan peribadi individu.

“Orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada dan mendapatkan pengesahan sewajarnya. Jangan sesekali mendedahkan maklumat peribadi kepada individu tidak dikenali dan jangan memindahkan wang kepada akaun yang diragui.

“Selain itu, orang ramai disarankan untuk membuat tetapan sekatan ke atas nombor telefon pemanggil (block call/reject list) atau mendapatkan perisian atau aplikasi bagi menyekat kemasukan panggilan atau SMS ke talian telefon yang dimiliki,” jelasnya.

Selain itu katanya, orang ramai juga digalakkan untuk menyalurkan maklumat dan mengemukakan aduan berhubung penipuan kepada pihak polis atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian Hotline 997, yang beroperasi dari pukul 8 pagi hingga pukul 8 malam untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI