HAMPIR empat dasawarsa berbakti dalam dunia seni suara tanah air seiring usia yang semakin mencemburui, Anuar Zain bersyukur kerana keberadaannya masih ditagih ramai peminat dengan latar belakang berbeza-beza.

Anuar Zain terkejut ada peminat usia 20-an

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HAMPIR empat puluh tahun bergelumang dalam dunia seni suara tanah air dan di ceruk mana pun dia melangkah, Anuar Zain tiada galang gantinya.

Buat khalayak, seperti penulis yang lahir sekitar awal tahun 1990-an, Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar Zain, 54, begitu dikenali dengan identiti dan listrik vokal yang berstatus satu dalam seribu.

Kalaulah ada sistem carta lagu seperti Billboard Hot 100 setiap perayaan hari Krismas menyaksikan lagu All I Want For Christmas nyanyian Mariah Carey meroket di tangga pertama, Anuar bersama rakan duetnya, Ellina juga berpeluang mencipta magis sama menerusi lagu malar hijau mereka, Suasana Hari Raya.

Itu dampak ditinggalkan seorang penghibur hebat seperti Anuar. Sangat ikonik dan seperti dicernakan dalam bentuk fakta dalam perenggan pertama, tiada galang gantinya.

Empat dasawarsa menyinari kehidupan peminat tanpa mengenal erti lelah, walaupun selama lebih kurang 10 tahun menyepikan diri sekitar 1980-an atas tuntutan kerjaya di langit biru, cinta Anuar terhadap dunia nyanyian terus dan terus bersemarak.

ANUAR menyedari tahap kemampuan sebagai seorang penyanyi dan bersyukur dengan bakat dipinjamkan Tuhan terhadapnya.

Signatur, takkan rock

Khalayak senang dengan signatur nyanyiannya yang tersendiri, namun pernah juga terlintas dalam fikiran sebilangan peminat, bagaimana agaknya jikalau anak kelahiran Merlimau, Melaka itu melakukan pusingan plot terhadap kecenderungan genre muziknya.

Maksudnya, daripada kelaziman balada atau R&B kepada jalur muzik yang tidak pernah terlintas di fikiran langsung. Barangkali genre rock.

Jawabnya, dia tidak mahu mengambil risiko akan sesuatu yang tidak mungkin dikerjakannya kerana tidak mahu menghampakan diri sendiri apatah lagi peminat di luar sana.

“Lagu rock ini bergantung, saya suka soft rock. Paling saya suka lagu Kamelia. Tapi kalau saya nyanyi dengan cara saya, habis nanti! (ketawa).

“Saya tak berani nak nyanyi. Genre muzik tertentu itu suci hanya untuk orang tertentu,” katanya.

Jelas Anuar, dia suka mendengar banyak lagu bergenre rock, namun untuk menyanyi atau merakamkan, itu tidak mungkin kerana sangat menghormati mereka yang berada di landasan muzik tersebut.

“Kita sebagai penyanyi kena sedar kemampuan kita. Suara saya bukan untuk genre rock. Mereka yang bervokal rock ini khas. Bukan senang nak nyanyi.

“Tapi saya suka dengar beberapa lagu. Bukan jiwa saya, tapi banyak juga saya boleh dengar,” ujarnya pada sesi santai bersama media sempena promosi Konsert AZ40 Up Close & Personal, baru-baru ini.

KATA Anuar, zaman sekarang sudah berubah, namun dia sentiasa mengikut peredaran digital semasa demi berhubung dengan para peminat.

Peminat mengejutkan

Sementara itu, menyingkap ringkas perjalanan kariernya yang begitu panjang, Anuar berkata, dia bersyukur kerana sehingga ke saat ini, lagu-lagu nyanyiannya masih setia menjadi siulan ramai peminat daripada pelbagai lapisan masyarakat, latar belakang dan peringkat umur.

Walaupun usia sudah melangkaui status ‘jubli emas’, satu perkara yang membuatkan dirinya sentiasa tersenyum sebagai seorang vokalis unggul tanah air adalah impak yang ditinggalkannya kepada peminat dari satu generasi ke satu generasi.

Katanya, kadang-kadang dia sendiri tidak mampu mengecam peminat muzik sendiri yang hadir ke persembahan atau konsert dijayakannya.

“Kadang-kadang tengok seorang peminat, dalam hati saya berfikir ‘dia ni mesti minat M. Nasir, tapi datang konsert kita’.

“I cannot tell (saya tak tahulah). Ada juga mengaku datang konsert saya, tapi saya musykil sama ada betul atau tidak ‘brader’ ni. Tengok gaya macam pergi tengok konsert Faizal Tahir,” ujarnya yang tidak lekang senyuman di bibir.

Ungkap Anuar lagi penuh maksud tersirat, penampilan seseorang itu tidak langsung menggambarkan cita rasa muzik mereka.

“Kadang-kadang orang ini, luar lain di dalam lain. Yang saya terkejut ada yang usia awal 20-an, budak-budak muda minat lagu-lagu saya.

“Ada yang umur muda-mudi boleh nyanyi lagu Sedetik Lebih, Keabadian Cinta membuatkan saya betul-betul bersyukur,” ujarnya.

40 tahun bertapak sebagai vokalis unggul tanah air, Anuar bersyukur masih diterima baik sehingga kini.

1,000 peminat bertuah

Jelasnya, sebagai seorang penyanyi yang semakin lama semakin berusia, pelantun lagu Bila Resah itu terkejut apabila para peminatnya ‘berselerak’ di serata tempat.

“Budak Alor Setar pun dengar lagu saya. Sejujurnya, saya kita tak tahu siapa minat kita,” katanya.

Sehubungan itu, atas rasa cinta dan kasih sayang terhadap peminat yang memberi apresiasi hebat terhadap konsert solonya tahun lalu, Anuar bakal menghiburkan 1,000 orang peminat bertuah tidak lama lagi. Persembahan akan berlangsung pada 17 Februari depan di JioSpace, Petaling Jaya.

“Disebabkan ramai yang tak boleh move on dengan konsert saya Oktober tahun lalu, saya terpanggil untuk bikin persembahan yang lebih eksklusif.

“Cuma 1,000 penonton saja. Kamu tahu saya bagaimana, saya akan turun dari pentas, borak-borak. Nama pun eksklusif kan. Lepak-lepak dengan penonton,” kata Anuar.

Tiket konsert boleh didapati menerusi laman web, www.jiotix.asia atau hubungi talian 011-11900518.

KONSERT AZ40 Up Close & Personal untuk 1,000 peminat bertuah akan berlangsung pada 17 Februari di JioSpace, Petaling Jaya.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN