fbpx

[VIDEO] ‘Tolonglah saya bos, anak saya kecil lagi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara warga asing yang ditahan dalam Operasi Khas Pemandu Warga Asing yang diadakan di sekitar Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

KUALA LUMPUR – ‘Tolonglah saya bos, anak saya kecil lagi’

Demikianlah rayuan seorang warga Bangladesh ketika ditahan oleh pihak berkuasa dalam Operasi Pengarah (Pewa) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar Klang Gate, hari ini.

Lelaki berusia 30-an itu ditahan kerana tidak memiliki lesen yang sah ketika membawa motosikal untuk pergi ke tempat kerja kira-kira pukul 10 pagi.

Ketika ditahan, warga asing yang bekerja sebagai kontraktor pembersihan itu bukan sahaja merayu, malah meminta belas kasihan dengan menyatakan anaknya masih kecil di rumah.

“Isteri saya baru lepas meninggal, anak saya masih kecil di rumah. Tolong sayalah, saya nak bawa anak saya pergi makan. Tolonglah saya,” katanya ketika kepada penguatkuasa yang bertugas.

Setelah beberapa minit, warga asing itu akhirnya akur sebelum dibawa ke JPJ Kuala Lumpur bersama-sama motosikalnya untuk tindakan sita dan dikeluarkan notis.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd. Zaki Ismail berkata, Ops Pewa yang dijalankan hari ini melibatkan seramai 70 anggota JPJ diikuti dengan tujuh Jabatan Imigresen (JIM) di 10 lokasi sekitar Kuala Lumpur.

Ujarnya, operasi dilaksanakan dengan memfokuskan kepada pemandu warga asing yang menggunakan kenderaan persendirian yang diubahsuai untuk kegunaan perniagaan serta kesalahan memandu tanpa lesen.

Antara warga asing yang ditahan dalam Operasi Khas Pemandu Warga Asing yang diadakan di sekitar Kuala Lumpur hari ini. – Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

Jelasnya, seramai 71 warga asing berusia 21 hingga 48 tahun ditahan di 10 lokasi di sini antaranya adalah Setiawangsa, Taman Melawati, Wangsa Maju dan Klang Gate dari pukul 9 hingga 12 tengah hari tadi.

“Hasil pemeriksaan terhadap 125 kenderaan mendapati 70 daripadanya diambil tindakan dengan 566 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, salah guna lesen kenderaan motor, tiada insurans serta kesalahan teknikal.

“Sebanyak 84 kenderaan disita membabitkan 77 motosikal, empat kereta dan tiga kenderaan barangan (lori). Kesemua kenderaan akan dikenalpasti identiti pemilik untuk proses dokumentasi.

“Kebanyakan mereka yang ditahan adalah penjual roti bermotosikal, penghantar barangan dapur dan penghantar besi buruk dari Pakistan, Myanmar, India, Bangladesh dan Indonesia,” katanya dalam sidang akhbar di JPJ, di sini, hari ini.

Tambah Mohd. Zaki, tindakan juga dikenakan kepada pemilik berdaftar kerana membenarkan pemandu memandu tanpa lesen dan salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi tujuan perniagaan.

“Bagi pemandu warga asing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah akan diserahkan kepada JIM untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Zaki berkata, terdapat segelintir rakyat malaysia yang bekerjasama dengan warga asing dan membenarkan atau menyewa kenderaan kepada golongan tersebut.

Tegasnya, kenderaan disewa atau dijual kepada warga asing akhirnya diubah suai dengan ‘kreativiti luar biasa’ yang akhirnya mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

“Mereka (warga asing) tidak kompetensi untuk bawa kenderaan-kenderaan besar kerana membahayakan nyawa pemandu lain. Saya faham rakyat kita mungkin sewakan sebab untung yang lumayan.

“Tapi barang-barang dibawa seperti zink, tin dan besi semuanya mendatangkan risiko. Sebab itu kita galakkan warga asing ini pergi sekolah memandu untuk ambil lesen,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI