fbpx
LEBIH 20 tahun berada dalam industri muzik, baru tahun ini Naqiu akhirnya berpeluang menjejakkan kaki ke pentas Anugerah Juara Lagu. Tahun 2024 juga bakal merealisasikan impiannya untuk bekerjasama tokoh muzik handalan, Datuk M. Nasir.

Jangan main-main dengan Boboy – Naqiu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEKITAR 23 tahun lalu, hadir sebuah kumpulan muzik yang dianggotai empat remaja bagi mewarnai persada industri muzik tanah air.

Pada usia belasan tahun, kumpulan dianggotai Naqiu selaku vokalis dan tiga pemuzik lain iaitu Didi, Shah serta Dzul itu berjaya menambat hati penggemar muzik dengan lagu-lagu ‘membuai’ jiwa.

Antara lagu yang sering meniti di bibir peminat adalah seperti Episod Cinta, Janji Seorang Kekasih, Berakhir Episod Cinta dan Demi Masa.

Berselang masa berlalu, kumpulan yang dinamakan sebagai Boboy itu tetap ada. Tidak lagi seaktif dahulu, namun penggemar setia mereka tetap tumbuh dan tangguh.

Naqiu sendiri masih aktif di pentas persembahan. Selepas membuat kemunculan semula menyertai program, Gegar Vaganza musim keenam (GV6)

Pada tahun 2019, sekali dinobatkan sebagai juara, berkongsi kemenangan dengan penyanyi asal Singapura, Hardy Mirza.

sering dilihat bergerak secara solo, namun Naqiu mahu tetap bersama kumpulannya, Boboy yang dianggap penting dalam hidupnya.
– MUHAMAD IQBAL ROSLI

Kumpulan

Dilihat sering bergerak solo, namun Naqiu tidak pernah sesekali melupakan Boboy, malah masih menganggap kumpulan itu penting dalam hidupnya.

“Boboy sudah wujud sejak 2001 lagi. Jangan main-main, sebab Boboy sangat bermakna dalam hidup saya,” tegasnya.

Kata pemilik nama lengkap Wan Naqiuddin Mohd. Najib itu, kata-kata sedemikian terbutir dek kekesalan dengan sikap seorang penganjur yang telah beberapa kali menabur janji kosong untuk mengadakan konsert bersama kumpulannya.

Sejak 2022 lagi, dia telah dijanjikan bulan dan bintang pihak terbabit untuk mengadakan konsert istimewa bersama Boboy, namun sehingga kini tidak membuahkan sebarang hasil.

“Ada seorang penganjur datang untuk berjumpa dengan saya dan berbincang tentang konsert bersama Boboy. Bukan sekali, tetapi sebanyak 10 kali sejak 2022.

“Walaupun sudah banyak kali berjumpa dan berbincang tentang tarikh, namun semuanya hanya janji kosong. Rasanya saya hanya jumpa dia untuk buat kemunculan percuma sahaja.

“Penganjur itu hanya memberi janji palsu. Saya dapat rasakan tujuannya hanya untuk berjumpa dengan saya sahaja. Dia ‘pancing’ saya dengan alasan untuk berbincang tentang konsert bersama Boboy. Bila berjumpa, banyak berbual tentang hal lain,” ujarnya kecewa.

Berasa seolah-olah tertipu, Naqiu mengakui sudah tawar hati dengan pihak terbabit dan pasti akan menolak permintaannya untuk berjumpa lagi selepas ini.

“Lama-lama saya jadi tawar hati. Kalau dia hendak jumpa lagi selepas ini, saya akan tolak,” katanya.

Kata Naqiu, apabila melibatkan Boboy, dia sangat serius dan teliti mengetahui setiap perancangan muzik mereka.

“Sudah tentu saya mahukan sebuah konsert bersama Boboy. Sebab itu jika ada penganjur yang berminat, saya tidak kisah untuk ‘turun padang’.

“Tapi jika melibatkan persembahan solo, saya akan serahkan sepenuhnya kepada pihak pengurus. Saya bukannya minta bayaran terlalu tinggi atau layanan istimewa,” katanya.

NAQIU sebenarnya kecewa selepas dijanjikan dengan tawaran mengadakan konsert bersama Boboy, namun sekadar janji kosong.

Pentas AJL

Kesempatan HibGlam bertemu dengan Naqiu baru-baru ini, turut mencungkil perasaannya apabila buat pertama kali bakal menjejakkan kaki ke pentas berprestij, Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) pada Mac nanti.

Walaupun peluang tersebut diraih sebagai penyanyi gantian untuk menyanyikan lagu milik Faizal Tahir berjudul Santai, bapa kepada enam orang anak itu tetap berbangga dan terharu apabila impiannya untuk berada di pentas gemilang tersebut tercapai.

“Akhirnya saya dapat jejakkan kaki ke pentas AJL. Perkara yang sudah lama saya idamkan dan kejar selama lebih 20 tahun berada dalam industri,” ujarnya.

Lebih membuatkan penyanyi berusia 37 tahun itu terharu apabila, dalam ramai penyanyi yang ada, Faizal Tahir memilihnya untuk menyanyikan lagu tersebut.

“Saya juga bersyukur sebab dalam ramai-ramai penyanyi, saya menjadi pilihan Faizal Tahir untuk menggantikan tempatnya menyanyikan lagu Santai di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM38) lalu.

“Bila dia sendiri yang minta saya gantikan, mula-mula memang saya termenung kejap, rasa macam mampi. Tapi lagu tersebut berjaya mara sebagai 12 finalis lagu ke pentas AJL, saya sangat bersyukur dan gembira.

“Peluang itu merupakan satu pencapaian baharu dalam karier saya,” katanya yang turut mengagumi lagu nyanyian Aina Abdul (Jangan Mati Rasa Itu) dan Aisha Retno (Sutera).

PADA 24 Februari ini, Naqiu bakal berkongsi pentas dengan penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang untuk menjayakan konsert istimewa, After Hours With Hetty Koes Endang.

Datuk M. Nasir

Semakin rancak mengangkat semula nama dan karier, Naqiu turut berkongsi keterujaan apabila bakal menjalinkan kerjasama dengan komposer dan penyanyi tersohor, Datuk M. Nasir pada tahun ini.

Kata Naqiu, tahun ini dia mahu melangkah ke satu tahap baharu dalam karier nyanyiannya selepas program All Stars Gegar Vaganza berakhir.

“Selepas kemunculan kembali pada 2019, saya banyak cipta lagu sendiri. Tapi untuk tahun ini (2024), saya mahu bekerjasama dengan komposer lain untuk lagu baharu.

“Antaranya dengan komposer dan penyanyi hebat iaitu Datuk M. Nasir. Saya akan berjumpa beliau untuk berbincang tentang projek baharu nanti,” tutupnya.

NAQIU tidak merancang untuk mengeluarkan lagu baharu bersama Boboy kerana mengakui sukar untuk mengatasi penangan lagu-lagu lama mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN