fbpx

167 anggota MPV ditukar ke unit lain – KP Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein berucap pada sidang akhbar khas sempena Op Palu 2024 berhampiran Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Gombak, hari ini.

GOMBAK – Polis Selangor mengambil tindakan menukarkan seramai 167 anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang berkhidmat lebih lima tahun ke unit lain dalam usaha mengurangkan kes salah laku dalam kalangan warganya.

Tindakan itu dibuat susulan kejadian dua anggota polis yang dipercayai terbabit kes merogol dan menyamun penuntut kolej swasta di Ampang baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tindakan drastik itu akan dibuat dalam masa terdekat bagi memastikan masyarakat terus yakin dengan PDRM.

“Saya percaya kita akan dapat perkasakan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan MPV selain dapat mengenal pasti anggota yang ada masalah disiplin,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Hussein memberitahu, pihaknya membuka kertas siasatan kes tatatertib terhadap 311 pegawai dan anggota pada tahun lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 33 individu dituduh di mahkamah, manakala 14 yang lain ditahan kerja dan 21 pula telah dibuang kerja. Selebihnya pula dalam tindakan lanjut.

Hussein berkata, pihaknya memandang serius kes pelanggaran tatatertib walaupun jumlahnya sedikit berbanding nisbah 15,000 pegawai dan anggota Polis Selangor.

“Seramai 21 individu terlibat kes dadah, 11 anggota kes jenayah dan seorang kes disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kita mengambil tindakan tegas terhadap mereka,” ujarnya.

Beliau berkata, seorang pegawai dan 10 anggota yang terlibat dalam kes tatatertib sudah didakwa di mahkamah pada bulan ini.

“Penyelia kepada anggota berkenaan juga disiasat mengikut Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, tindakan akan diambi sekiranya mereka gagal dari segi penyeliaan,” katanya.

Hussein berkata, pihaknya turut menubuhkan dua pasukan khas di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti untuk memantau secara berterusan terhadap ‘frontliners’.

“Ia turut dibantu pasukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS),” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI