fbpx

Terbuka Australia: Anisimova selesa lakar kejutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANISIMOVA melakar kejutan selepas mara ke pusingan keempat Terbuka Australia biarpun baharu kembali ke gelanggang tenis selepas lapan bulan berehat. - AFP

MELBOURNE – Pemain Amerika Syarikat, Amanda Anisimova mengakui sangat berbangga apabila berjaya meneruskan perjuangannya di Terbuka Australia untuk minggu kedua selepas kembali dari tempoh rehat panjang selama lapan bulan sebelum ini.

Pemain berusia 22 tahun itu pada Mei tahun lalu mengumumkan untuk meninggalkan gelanggang tenis buat seketika kerana faktor keletihan dan kesihatan mental yang terganggu sebelum kembali ke saingan Grand Slam kali ini.

Anisimova membuka gelanggang di Melbourne apabila berjaya menewaskan pilihan ke-13 dari Russia, Liudmila Samsonova 6-3, 6-4 sebelum menyingkirkan pemain Argentina, Nadia Podoroska dan kelmarin membenam cabaran bekas pemain No. 2 dunia, Paula Badosa untuk ke pusingan keempat.

“Saya sangat bangga dengan diri sendiri. Saya tak pasti adakah saya menjangkakan prestasi seperti ini kali ini. Ramai yang memberitahu saya supaya tidak meletakkan jangkaan yang terlalu tinggi terhadap diri sendiri.

“Saya mengambil pesanan itu, tetapi saya tetap meletakkan sasaran untuk diri sendiri. Saya sangat gembira kerana mampu melangkah sejauh ini dan saya fikir saya masih mampu untuk melakukan sesuatu yang lebih lagi,” katanya.

Pemain yang menduduki tangga ke-442 dunia ketika ini bakal menikmati lonjakan kedudukan selepas mara ke pusingan keempat, namun perlu berdepan penyandang juara, Aryna Sabalenka untuk meneruskan kemaraan ke suku akhir. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI