fbpx
KOS bagi seorang bakal haji muassasah adalah RM33,300 tahun ini.

Memang patut kos haji naik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kenaikan kos haji sebanyak RM3,000 pada tahun ini adalah wajar berikutan kos yang perlu ditanggung oleh Tabung Haji turut semakin bertambah ketika ini.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berpandangan, kenaikan sebanyak RM3,000 itu adalah wajar.

Ujar beliau, kenaikan kos haji kepada RM33,300 berban­ding kenaikan kadar bayaran haji ditetapkan TH kepada RM12,356 masih dianggap rendah.

“Pada pandangan saya masih okay. Sebenarnya murah lagi itu naik RM3,000. Kos haji memang tinggi. Umrah sekarang pun sudah RM10,000. Kos sebenar RM33,300, jadi kadar Bayaran Haji RM12,356 bermaksud sudah banyak kos ditampung oleh TH dan berpatutan.

“Namun, kenaikan ini tidak memberi kesan kepada bayaran yang dikenakan oleh agensi pengendali haji antara RM40,000 hingga lebih RM50,000,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, kos haji meningkat disebabkan bayaran bilik hotel, pengangkutan dan sebagainya di Arab Saudi yang semakin bertambah.

“Memandangkan kenaikan bayaran hotel, pengangkutan dan sebagainya, seluruh dunia alami kenaikan, maka tidak boleh salahkan Kerajaan Arab Saudi juga.

“Apapun memang kita mengharapkan kerajaan Arab Saudi pertimbangkan juga kemampuan jemaah haji kita terutama golo­ngan B40 dan kalau naik pun yang minimum sajalah,” katanya.

Ujar beliau, dari segi hukum agama bukan suatu kesalahan untuk TH menaikkan kadar bayaran haji disebabkan peningkatan kos.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Othman menjelaskan, dari segi hukum agama yang wajib menunaikan ibadat haji adalah yang berkemampuan termasuk dalam aspek kewangan dan kesihatan.

Ujarnya, dari segi kadar bayaran haji pula terpulang kepada penetapan TH, namun TH hingga kini masih membantu kewangan jemaah pada kadar ter­tentu.

“Kalau tidak mampu, tidak cukup duit maka tidak wajib. Orang yang tidak mampu pergi, tidak dapat pergi, maksudnya tidak berdosa. Yang wajib bagi orang yang mampu.

“Kenaikan ini kita terpaksa akur dengan keadaan sebenar dan kita harap TH kekalkan asas tujuan penubuhannya membantu umat Islam Malaysia menunaikan ibadat haji,” katanya.

Kelmarin TH mengumumkan kos haji bagi seorang bakal haji muassasah untuk musim haji 1445H/2024M meningkat lapan peratus kepada RM33,300 berbanding RM30,850 tahun lalu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN