fbpx

Kondominium mewah proses jus dadah diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamarudin menunjukkan dadah yang dirampas dalam lima serbuan di Lembah Klang. FOTO: KOSMO!/ FARIZWAN HASBULLAH

KUALA LUMPUR – Taktik sindiket mencampur pelbagai dadah dalam air minuman terbongkar apabila pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) melakukan lima serbuan di sekitar Lembah Klang, di sini, pada Selasa dan Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Kamarudin Md Din berkata, pihaknya berjaya menahan enam individu termasuk seorang wanita tempatan berusia 19 hingga 40 tahun dalam serbuan di dua buah kondominium mewah di Cheras dan Kajang.

Katanya, kesemua suspek dipercayai bergiat aktif sejak pertengahan 2023 dalam aktiviti memproses dan mengedar dadah di pusat-pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

”Dalam operasi ini, kita merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM448,850 yang terdiri dari 54,550 milliliter (ml) jus dadah, MDMA (68 kg), ketamin (144 g), ganja (16 g), ekstasi (5 kg), pil erimin 5 (550 biji) dan pil ekstasi (2,900 biji).

“Harga sebuah botol yang dijual dianggarkan dalam RM180 hingga RM300 bergantung kepada saiz dan jumlah kandungan di dalam botol tersebut.

“Kami percaya gaji yang dibayar kepada suspek sekitar RM30,000 sebulan dan jika gaji sebanyak itu, kami percaya keuntungan sebulan bagi sesebuah pusat hiburan itu agak besar,” katanya ketika sidang akhbar di IPD Cheras, di sini, hari ini.

Menurut beliau, salah seorang daripada suspek, berusia 39 tahun adalah dalang dalam sindiket ini.

“Jumlah dadah yang dirampas ini dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 27,000 orang penagih dadah,” katanya.

Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah menjadikan kondominium mewah sebagai tempat memproses dan menyimpan bekalan seterusnya dadah ini diedarkan di pusat hiburan sekitar lembah klang dan juga diedarkan kepada pelanggan yang melakukan aktiviti ‘private party’.

“Itu trend sekarang, mereka membuat campuran dadah dengan adanya jus ini. Sebelum ini mereka ini hanya fokus penjualan satu dadah saja. Jadi, bila buat saringan air kencing, mereka positif lima hingga enam jenis dadah.

“Empat daripada suspek itu didapati positif dadah jenis ketamin manakala mereka direman selama tujuh hari bermula 17 hingga 23 Januari ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tambahnya, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (pelucuthakan harta) 1988, di mana JSJN menyita pelbagai aset sindiket seperti kenderaan, wang tunai dan barang kemas yang dianggarkan bernilai RM489,408. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI