fbpx

Tengku Hassanal lawat Darul Hana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Hassanal ketika tiba bagi lawatan ke Stesen Pelbagai Bahan Api Petros di Darul Hana.

KUCHING – Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meneruskan lawatan rasmi baginda ke Darul Hana, di sini hari ini.

Dalam lawatan itu, baginda berkenan melawat Stesen Pelbagai Bahan Api Petroleum Sarawak (PETROS) Darul Hana.

Ketibaan baginda pada pukul 11.05 pagi itu diiringi oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr. Hazland Abang Hipni bersama-sama Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Robert Hardin serta tetamu kehormat yang lain.

Dalam lawatan itu, Tengku Hassanal turut diberikan taklimat oleh Robert berkaitan operasi kerjasama SEDC dan PETROS dalam usaha mempraktikkan penggunaan tenaga berasaskan hidrogen.

Setelah berkenan melawat sekitar PETROS serta beramah mesra bersama-sama kakitangan dan masyarakat sekitar, Tengku Hassanal berkenan melakukan sesi pertukaran cendera kenangan bersama Robert.

Terdahulu, baginda berkenan mencemar duli melawat menara SEDC, dengan turut disambut oleh Pengurus Besar SEDC Datu Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir.

Seterusnya, Tengku Hassanal bersama-sama rombongan dijadualkan melakukan lawatan kerja ke ‘Algae Nursery Site Resintech SEDC’ bertempat di Taman Perindustrian Demak Laut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI