fbpx

Suami isteri dituduh edar dadah terlepas hukuman gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASANGAN suami isteri, Shin Haw (dua dari kiri) dan isteri, Felicia (empat dari kiri) dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dan memiliki dadah oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.

IPOH – Sepasang suami isteri terlepas daripada hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepaskan dan membebaskan mereka daripada pertuduhan mengedar dan memiliki dadah seberat 1,510.69 gram, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed memutuskan demikian terhadap Yong Shin Haw, 48, dan isteri, Felicia Diong Chew Li, 38, selepas mendapati mereka berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pertama, pasangan suami isteri yang mempunyai tiga anak perempuan itu didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1,458.3 gram di sebuah rumah di Kampung Selamat, Sitiawan di dalam Daerah Manjung pada pukul 3.40 petang, 24 Februari 2020.

Pasangan suami isteri itu juga didakwa bagi pertuduhan kedua dan ketiga iaitu memiliki dadah berbahaya jenis heroin seberat 8.41 gram, monoacetyimorphines (1.48 gram) dan 3,4- Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 42.5 gram pada pukul 3.30 dan 3.40 petang di lokasi dan tarikh sama.

Terdahulu, dalam penghakiman di akhir kes pembelaan, Abdul Wahab berkata, terdapat sekurang-kurangnya satu individu lain yang turut mempunyai akses ke atas bilik di tingkat dua rumah tertuduh di mana dadah tersebut telah dijumpai.

Bagaimanapun katanya, tidak dapat dibuktikan bahawa individu itu adalah Keong seperti mana yang dinyatakan dalam pembelaan kedua-dua tertuduh.

Sementara itu, dalam prosiding di mahkamah sama, Shin Haw dijatuhi hukuman lima tahun penjara dan tiga sebatan selepas didapati bersalah bagi pertuduhan di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 iaitu memiliki 11.38 gram methamphetamine di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Hakim Abdul Wahab memerintahkan hukuman tersebut berjalan daripada tarikh lelaki terbabit ditangkap pada 24 Februari 2020.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd. Radzi manakala tertuduh diwakili peguam, S. Selvam dan T. Gayathrie.

Seramai tujuh saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil untuk memberikan keterangan berkaitan kes tersebut yang mula dibicarakan pada 11 Oktober 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI