fbpx

Sarjan didakwa terima suapan RM2,000 ‘kautim’ kes dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH (tiga dari kanan) didakwa menerima suapan melibatkan kes dadah bernilai RM2,000, tiga tahun lalu. - foto oleh SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Seorang Sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap seorang pesalah kes dadah, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Hazwan Ahad, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan termasuk satu pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menerima suapan wang tunai berjumlah RM2,000 daripada Hasnah Ahmad Shah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap anaknya, Julhashfizan Abdullah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagi pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM2,000 tanpa sebarang balasan daripada Hasnah Ahmad Shah yang mana tertuduh mengetahui wanita itu mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Semua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 3 petang di sebuah rumah bernombor, Taman Rambai Idaman dalam daerah Melaka Tengah pada 9 Mac 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan RM10,000 bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Melaka sebulan sekali sehingga kes selesai dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh diwakili Peguam Mohd. Hazrin Alif Wahab bagaimanapun merayu agar nilai jaminan dikurangkan kepada RM5,000.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI