fbpx

Polis kesan pengasuh patahkan kaki budak 3 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allaudeen ketika sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kuala Lumpur di IPK Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis mengesan pengasuh warga asing yang melarikan diri selepas melakukan penderaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sehingga patah kaki.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pengasuh terbabit melarikan diri sebelum majikannya tampil membuat laporan polis pada 8 Januari.

“Pengasuh berkenaan belum ditemui lagi namun kertas siasatan telah dibuka.

“Kita masih lagi mengesan keberadaan pengasuh yang menyebabkan kanak-kanak tiga tahun patah kaki,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Terdahulu pada 11 Januari lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dilaporkan dicubit, digigit dan dipukul sehingga patah kaki oleh pengasuhnya yang juga wanita warga asing.

Perkara berkenaan terbongkar selepas kanak-kanak malang itu tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kecederaan dialami pada Isnin minggu lalu.

Menurut sumber, ibu kanak-kanak yang berusia 36 tahun mendakwa mengambil pengasuh itu daripada sebuah agensi pekerjaan warga asing kira-kira tiga tahun lalu.

“Pengasuh wanita itu ditugaskan membantu menjaga anaknya yang menerima rawatan di HKL akibat masalah kesihatan.

“Pada 2022, pengadu mula menyedari terdapat kesan lebam dan luka di beberapa bahagian badan, muka serta kemaluan anaknya namun, pengasuh menafikan melakukan penderaan.

“Sehinggalah baru-baru ini, anaknya dimasukkan ke ICU kerana keracunan makanan dipercayai akibat diberi makanan yang tidak sepatutnya,” jelasnya.

Susulan kejadian itu, pengasuh bertindak melarikan diri sebelum ibu mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya turut mengesahkan menerima laporan ibu mangsa pada 8 Januari lalu.

Rakaman keterangan pengadu sudah diambil manakala siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 sedang dijalankan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI