Negara bisa runtuh jika halalkan yang haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pada bulan Jun 2022, negara jiran kita Thailand membuat satu kejutan besar apabila menjadi negara pertama di benua Asia yang membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan rekreasi di negara tersebut.

Kesan daripada keputusan itu, kedai-kedai menjual ganja tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di seluruh Negara Gajah Putih itu. Ganja boleh didapati dengan mudah bukan sahaja di dispensari, malah boleh dibeli hampir di mana-mana sahaja termasuk kafe, restoran, butik, spa atau ketika berlangsungnya festival-festival tertentu.

Dalam masa hanya 18 bulan, industri ganja menjadi sangat menguntungkan sehingga mencecah bilion dolar. Ramai dikatakan telah meninggalkan pekerjaan asal mereka termasuk pesawah di kampung-kampung mula beralih menceburi bisnes berasaskan ganja.

Pengusaha restoran serta kafe misalnya, dibenarkan untuk mencampurkan ganja dalam masakan atau hidangan termasuk minuman yang dihidangkan kepada pelanggan mengikut tahap dibenarkan mengikut garis panduan yang ditetapkan termasuk penjualan ganja terhadap pelanggan berusia 20 tahun ke bawah tidak dibenarkan.

Namun, hakikatnya tiada siapa mampu memantau tahap penggunaan ganja yang dibenarkan atau kepada siapa ganja itu dijual? Apabila industri ganja sudah berkembang dengan pesat, peniaga hanya akan memikirkan tentang keuntungan bukan lagi soal mengikuti garis panduan.

Akibatnya, masalah penggunaan ganja menjadi tidak terkawal dan semakin berleluasa dan menurut laporan Nikkei Asia, kes ketagihan ganja di Negara Gajah Putih itu meningkat empat kali ganda sehingga mengakibatkan hospital-hospital mengalami tekanan untuk merawat jumlah pesakit kesan pengambilan ganja yang melonjak mendadak.

Kini, Thailand mula menyedari masalah dadah semakin berleluasa di negara itu dan mahu kembali ‘mengharamkan’ penggunaan ganja untuk tujuan rekreasi. Pastinya jika itu berlaku, ramai yang akan ‘mengamuk’ terutamanya kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam bisnes ganja kerana sudah menikmati ‘kesenangan’ yang mudah.

Secara realitinya, masih banyak bisnes haram lain yang menjanjikan keuntungan lumayan kepada ‘tauke-taukenya’. Aktiviti pelacuran, dadah sintetik, penjualan arak, perjudian dan bermacam lagi yang kalau kita ‘halalkan’ pasti akan menjana laba berlipat ganda.

‘Tauke-tauke’ kepada bisnes ini pasti mengaut untung berlipat kali ganda dan tidak hairanlah seorang raja dadah rakyat Malaysia yang ditahan di Thailand baru-baru ini dikatakan mempunyai aset sebanyak RM190 juta.

Bagaimanapun, hanya ‘tauke’ sahaja yang kaya, sedangkan mereka yang terlibat secara langsung sebagai pelanggan kepada kegiatan tersebut kebanyakannya akan hidup merana. Kaki dadah, kaki judi atau kaki botol selalunya tidak akan mampu lagi menggunakan akal yang waras dalam tindak-tanduk mereka.

Akibatnya bukan sahaja institusi keluarga akan menjadi tidak stabil, malah tunjang kekuatan sesebuah negara akan menjadi rapuh dan boleh runtuh jika industri haram dibiarkan berterusan dan berleluasa dalam kalangan rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN