fbpx

Paduan budaya dan motif haiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Koleksi fesyen bermotif haiwan yang penuh warna-warni.

PESONA gaya yang unik dan eksentrik sememangnya mempunyai peminatnya yang tersendiri. Malah, gaya tersebut juga digunakan untuk menyerlahkan sisi ekspresif dalam diri seseorang.

Kaedah mengekspresi identiti diri menerusi pakaian menjadi signatur pereka terkenal tanah air, Edie Chung yang juga merupakan individu kreatif di sebalik label pakaian Friesenguys.

Selepas berjaya mencipta nama dalam bidang fesyen di Jepun pada tahun 2019, Chung kembali ke tanah air dengan hasrat untuk menterjemah gaya label yang diasaskannya itu di Malaysia, negara kelahirannya.

Terkenal dengan busana bersiluet elegan, Chung berjaya memikat hati peminat fesyen dari Negara Matahari Terbit itu, antaranya termasuk puteri pop Harajuku, Kyary Pamyu Pamyu; ahli kumpulan idola Jepun, Sakurazaka46 dan juga vokalis kumpulan Yaosabi iaitu Lilas Ikuta.

Malah, label itu juga terus menempa nama sebagai antara label fesyen pilihan dalam pasaran Timur Asia apabila diterbitkan dalam beberapa majalah popular di Jepun termasuk ViVi, Ginza, ANAN dan PERK Magazine.

Keinginan yang tinggi untuk memperkenalkan koleksi pakaiannya di negara ini mendorong Chung untuk mengadakan sebuah pertunjukan fesyen penuh warna-warni pertengahan Disember lalu bertempat di Yuespace, Plaza Damas, Kuala Lumpur.

Koleksi bernama JUNGLE itu menampilkan estetika pelbagai budaya menerusi gabungan tekstil tradisional dengan corak dan motif haiwan dalam rona warna yang terang.

Ujar Chung, ia merupakan cara dia menghargai falsafah dan pengaruh fesyen mendiang pereka fesyen terkenal Jepun, Kenzo Takada yang amat mencerminkan gaya peminat fesyen di rantau Asia.

Fesyen avant-garde yang diketengahkan juga berciri androgini.

Sebanyak 24 helai busana dipamerkan dalam acara tersebut yang berjaya memukau penonton.

Rona-rona terang dengan pemilihan fabrik yang menarik menyerlahkan estetika androgini (androgynous) label itu.

Chung menjelaskan penceritaan menerusi pakaian menjadi nadi label Friesenguys.

“Pendekatan berani dan tersendiri yang dibuat Friesenguys mencabar sempadan konvensional untuk pakaian lelaki, apabila ia digabungkan dengan elemen pakaian wanita melalui aplikasi tekstil, corak dan permukaan yang inovatif.

“Setiap karya meraikan dan memartabatkan ciri kelelakian dan kewanitaan, sekali gus menghasilkan gabungan unik fesyen tradisional dan avant-garde,” kongsinya.

Tambah Chung, dia juga berbangga untuk membawakan rekaannya itu ke negara ini memandangkan ia dihasilkan sepenuhnya di Malaysia.

“Friesenguys bukan sahaja diterjemahkan sebagai jenama pakaian, tetapi menerusi label ini, saya mahu menunjukkan komitmen terhadap penghasilan pakaian yang mampan,” katanya.

Chung yang merupakan seorang graduan bidang teater dan kesusasteraan Inggeris berkata, minat terhadap fesyen mendorongnya untuk mewujudkan jenama fesyen sendiri.

“Jika diikutkan, Friesenguys sebenarnya bermula dari bilik tidur saya sahaja.

“Ia menjadi tempat saya menterjemahkan sisi kreatif yang kemudiannya dijadikan sebagai sebuah jenama fesyen,” katanya.

Maklumat lanjut berkenaan koleksi Friesenguys boleh diperoleh menerusi laman web jenama itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI